Polis M'sia pohon maaf pada pengadil karate Indonesia

   

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memohon maaf kepada pengadil karate Indonesia, Donald Peter Luther Kolopita yang mendakwa diserang oleh empat anggota polis Malaysia di Negeri Sembilan Jumaat lalu.

Beliau turut memberi jaminan kepada Kolopita bahawa kerajaan dan polis Malaysia meneliti insiden itu dengan amat serius dan mengambil tindakan yang perlu bagi menyiasat perkara itu secara menyeluruh.

"Harap terimalah permohonan maaf saya kerana pengalaman buruk yang menimpa anda," kata Musa dalam suratnya kepada Kolopita yang diserahkan oleh Duta Malaysia ke Indonesia Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain semalam

Musa berkata, bagi pihak Polis Diraja Malaysia, beliau menulis surat itu untuk meyuarakan kekesalan yang amat sangat berikutan insiden malang yang berlaku semasa Kolopita berada di Malaysia untuk mengadili Kejohanan Karate Asia, demikian menurut laporan Bernama

Dalam kejadian kira-kira JAM 2 pagi Jumaat lalu, Kalapita mendakwa dipukul empat anggota polis berpakaian awam ketika beliau berjalan dari Stadium Tertutup Nilai ke hotel penginapannya berikutan sukar mendapatkan teksi.

Kejadian itu menyebabkan beliau mengalami beberapa kecederaan di badannya termasuk patah tulang rusuk, bengkak dan lebam di muka.

"Sekiranya siasatan kami mendedahkan sebarang tindakan menyalahi undang-undang oleh anggota polis yang didakwa terbabit dalam insiden itu, tindakan akan dikenakan terhadap mereka sejajar dengan undang-undang, sebagai tambahan tindakan disiplin juga didapati wajar," kata Musa.

Zainal Abidin yang diiringi oleh beberapa pegawai dari kedutaan, menziarahi Kolopita di Hospital Pusat Pertamina di Jakarta.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In