PRK MAHKOTA | Walaupun salah seorang pemimpin kanan PAS menjangkakan PN berdepan tugas sukar untuk merampas kerusi DUN Mahkota, seorang lagi pemimpin parti itu melihat peluang tetap ada untuk mereka melakar kejayaan.
Kata Tuan Ibrahim Tuan Man data dan penilaian mengenai kekuatan BN di kerusi tersebut dibuat berdasarkan keadaan semasa ketika pilihan raya negeri (PRN) diadakan pada 2022.
Kata timbalan presiden PAS berkenaan, ketika itu gelombang sokongan pengundi kepada PN belum berlaku, manakala peratusan pengundi muda yang keluar juga sangat rendah.
"Jadi untuk PRK DUN Mahkota kali ini, kita (PN) akan berhabis-habisan seperti PRK di tempat lain.
"Kami juga menjangka ada perubahan akan berlaku di PRK DUN Mahkota," katanya dipetik BH Online hari ini.
Kelmarin Annuar Musa meramalkan BN dan parti kerajaan akan selesa mengekalkan kerusi Mahkota untuk jadi milik mereka dalam PRK dijadual pada 28 Sept ini.
Annuar yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata dalam PRN lalu calon BN mendapat lebih 16,000 undi manakala salah seorang pencabarnya dari PH, mengumpul lebih 11,000 undi.

Untuk rekod ketika Johor mengadakan PRN pada 2022, kerajaan perpaduan belum terbentuk.
Berdasarkan perolehan tersebut juga, kata Annuar, parti kerajaan sudah memiliki hampir 28,000 undi.
"Ini menjadikan Mahkota kubu terkuat BN-PH Madani di Johor.
"Apalagi dalam PRK , dengan segala jentera kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang sudahpun dikerahkan bekerja untuk team perpaduan Madani.
"Dijangkakan BN dengan mudah menambah undi mereka saperti di Nenggiri. Mungkin melebihi 30,000 undi.
"PN bermodalkan hanya 7,000 undi sahaja dalam PRN lalu. Lebih rendah 20,000 undi berbanding undi diperolehi BN-PH," katanya.
Justeru Annuar menjangkakan majoriti diperolehi BN dalam PRK kira-kira tiga minggu lagi itu akan melebihi 20,000 undi. Malah bekas Setiausaha Agung Umno itu membaca prestasi tersebut sebagai manifestasi kejayaan jajaran baru BN-PH dalam kerajaan perpaduan.
Menurut Tuan Ibrahim, PN akan menggembleng kekuatan masing-masing dan bekerja keras untuk memberi tentangan sengit kepada BN.
"Tidak mustahil PN akan mencapai kejayaan di kerusi berkenaan berdasarkan keadaan politik semasa," katanya.
BN sudah mengumumkan Ketua Pemuda Umno Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, sebagai calon parti kerajaan perpaduan bagi PRK tersebut.
Bersatu - yang akan mewakili PN - pula sepatutnya mengumumkan calon mereka semalam namun menangguhkannya atas faktor yang tidak dapat dielakkan selain isu pengurusan parti.
