NOTA EDITOR: Tajuk dan tiga perenggan pertama laporan ini sudah dikemas kini untuk ketepatan kenyataan Teresa Kok.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata dia tidak mempunyai peluang untuk membawa cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mempertimbangkan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol ke mesyuarat dalaman seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Saya tak ada peluang untuk bawa pandangan saya melalui saluran dalaman kerana kenyataan asal menteri agama sebenarnya telahpun menyebabkan banyak pihak sudahpun ada tindak balas mereka dan mereka rasa tak puas hati.
“Sebab itu kalau awak rujuk media sosial saya, saya memang minta kerajaan untuk kaji semula cadangan ini sebab saya tahu ini memang akan mendatangkan banyak masalah khusus kepada pengusaha restoran kecil, kerana proses pensijilan itu ambil masa sangat panjang dan melibatkan kos juga,” katanya kepada pemberita sejurus selesai diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

Dua hari lalu, Anwar menasihatkan mana-mana pemimpin politik untuk mengemukakan cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.
"Tak payah jadi begini kerana ini menimbulkan kontroversi yang tidak relevan dalam masyarakat kita.
"Ada masalah... peraturan perlu supaya umat Islam tidak rasa was-was. Namun kalau dia (Teresa) rasakan peraturan itu tidak diperlukan di kawasan tertentu, bincanglah secara elok," kata Anwar.
Teresa pada sidang medianya, juga menjelaskan bahawa dirinya tidak pernah mempersoalkan peranan Jakim termasuk mempersoalkan langkah pematuhan sijil halal.
Sebaliknya, kata Kok, dia cuma memberi maklum balas terhadap cadangan yang dibangkitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.
“Kenyataan dibuat sebagai respon bagi kerajaan mengkaji semula cadangan menteri (Mohd Na’im). Sebagai ahli parlimen, saya bertanggungjawab untuk mengutarakan masalah dan suara hati rakyat berbilang kaum.
“Kenyataan saya tidak sama sekali bermaksud saya mempersoalkan pensijilan halal, peranan Jakim atau tidak menghormati agama Islam,” katanya.

Jelasnya, sebagai seorang wakil rakyat, dia berhak untuk menyuarakan kebimbangan dan masalah rakyat berbilang kaum.
"Saya mempunyai tanggungjawab untuk menyiarkan masalah rakyat dan saya minta kerajaan mengkaji semula cadangan itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Teresa berkata, beliau tetap akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan itu namun tetap mengharapkan semua pihak bertenang.
“Saya harap isu ini akan tenang, reda kerana sudah banyak pihak sudah menyatakan pandangan masing-masing,” katanya lagi.

Terdahulu, Teresa yang berbaju kurung putih hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berkaitan kenyataan pensijilan halal dikatakan membebankan peniaga di Malaysia.
Teresa tiba pada jam 9.40 pagi ditemani peguamnya yang juga ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
Proses tersebut berlangsung selama satu jam setengah dan berakhir pada jam 12 tengah hari.
Antara yang kelihatan bersamanya ialah ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga Pengerusi DAP, ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun, ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau dan ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Turut kelihatan adalah Adun Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao dan Adun Bukit Gasing, R Rajiv dan Adun Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.
Ahad lalu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata bahawa siasatan ke atas Teresa adalah di bawah Seksyen 298 dan 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyentuh isu 3R (bangsa, agama dan Raja-raja).
Dia juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
