Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkota beri isyarat pengundi pertengahan Melayu yakini k'jaan Madani

Penganalisis politik berpendapat pengundi Melayu kelas pertengahan kembali yakin dengan prestasi positif dipamerkan Putrajaya di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Kesan daripada perubahan itu, kata mereka, dapat dilihat melalui peti undi yang menunjukkan golongan berkenaan menyokong calon BN pilihan raya kecil bagi DUN Mahkota baru-baru ini.

Pensyarah Program Pengajian Polisi di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Mohd Yusri Ibrahim berkata pengundi Melayu kelas pertengahan secara umum menilai sesuatu isu dengan lebih objektif.

Menurutnya, selepas pembentukan kerajaan perpaduan yang dipimpin PH, seperti orang lain, mereka turut dihambat kebimbangan tentang situasi negara, termasuk isu-isu berkait kesucian Islam dan hak keistimewaan orang Melayu.

“Selepas hampir dua tahun kerajaan perpaduan memerintah, mereka mula melihat prestasi-prestasi positif yang dipamerkan oleh kerajaan seperti peningkatan nilai ringgit, perkembangan pasaran saham, kenaikan harga padi, getah dan sawit, kenaikan gaji penjawat awam dan sebagainya.

“Semua prestasi ini diperhatikan secara objektif oleh golongan Melayu pertengahan, lalu sedikit demi sedikit mereka mula membina keyakinan semula kepada parti-parti dalam kerajaan perpaduan khususnya PH-BN,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Mohd Yusri Ibrahim

Analisis Malaysiakini ke atas keputusan PRK Mahkota pada 28 Sept lalu mendapati calon mewakil kerajaan Madani, Syed Hussein Syed Abdullah, memenangi mempertahankan kemenangan dengan kemenangan besar.

Dia dijarakkan daripada pencabar, Mohamad Haizan Jaafar dengan hampir 28,000 undi, selain menang di semua 23 pusat mengundi.

Keputusan itu juga menunjukkan parti kerajaan perpaduan berjaya mempengaruhi sebilangan pengundi Melayu yang menyokong PN semasa PRU ke-15 lalu untuk bertukar fikiran.

Bagaimanapun, perlu diingat, kemenangan itu dicapat dengan latar belakang peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu hanya 54 peratus. Ia juga menyaksikan penurunan ketara dalam sokongan pengundi Cina.

PN masih kuat di Pantai Timur

Analisis itu membandingkan data hasil PRK kali ini dengan PRU ke-15 apabila pengundi DUN Mahkota turut terlibat mengundi untuk kerusi Parlimen Kluang, dan pilihan raya negeri Johor pada Mac 2022.

Mohd Yusri berkata faktor prestasi semasa PN yang dilihat agak bermasalah turut menyumbang kepada punca kekalahan besar mereka.

“Prestasi PN sebagai pembangkang agak bergelut, tidak mampu mempamerkan fungsi pembangkang yang efektif untuk sama-sama membangunkan negara.

“Semua faktor ini bergabung, lalu menyebabkan peralihan sokongan Melayu kategori pertengahan tersebut.

"Apatah lagi orang Melayu Johor ada karakter tersendiri, khususnya nostalgia panjang mereka dengan Umno,” katanya.

Ketua Penyelidik Ilham Centre itu bagaimanapun melihat, masih terlalu awal untuk menganggap trend tersebut akan menular ke negeri-negeri lain selepas ini.

Kata Mohd Yusri, trend sokongan pengundi Melayu pertengahan itu masih bersifat zon atau setempat.

“Secara umumnya saya melihat cengkaman pengaruh PN di Pantai Timur dan Utara masih kuat. Umno dan PH perlu melakukan lebih banyak sesi libat urus dan penerangan untuk meningkatkan naratif penerimaan tersebut kepada dua zon yang dimaksudkan,” tambahnya.

Ditanya faktor sokongan pengundi bukan Melayu yang dianggap merosot di Mahkota, Mohd Yusri berkata, pengalamannya di lapangan menunjukkan kelompok pengundi PH itu merupakan segmen paling berobjektif dalam mampamerkan sokongan.

“Malah mereka memiliki daya kritikal yang tinggi. Mereka (ghairah) keluar mengundi apabila ada implikasi besar. Contohnya jika pilihan raya itu akan menentukan kerajaan persekutuan dan negeri.

“Dalam konteks PRK yang tidak membawa banyak implikasi perubahan kepada kerajaan, biasanya mereka tak ghairah untuk keluar.

“Namun dalam konteks Mahkota ini, secara relatifnya kadar keluar mengundi mereka sudah memberangsangkan berbanding maklum balas awal yang mereka tunjukkan sepanjang kempen.

"Mereka yang banyak meningkatkan majoriti yang diperolehi BN,” jelasnya.

Tetap kena usaha keras

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mazlan Che Soh berpendapat penampilan calon berkarisma bersama matlamat dan gagasan yang jelas antara inti pati penting menatijahkan peralihan untuk golongan Melayu kelas pertengahan.

“Sebagai salah satu kubu kuat Umno, perubahan ini jelas sedikit sebanyak memberikan keyakinan kepada parti itu bahawa mereka semakin diterima baik.

"Pun begitu ia bukanlah petanda pihak berkaitan harus berpuas hati.

“Untuk mengatakan bahawa trend seumpama ini akan turut berlaku di negeri-negeri lain juga masih terlalu awal.

“Faktor demografi dan pola pengundian di Johor mungkin tidak boleh disamakan dengan pola serta pemikiran pengundi Melayu lain, terutama seperti di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Mazlan Che Soh

Tambah Mazlan, di sebalik kejayaan mereka di Mahkota, BN-PH tetap perlu berusaha keras menawan hati pengundi Melayu dari negeri-negeri yang didominasi PAS itu tanpa mengabaikan pemilih di negeri lain.

Pada masa sama, katanya, kemerosotan pengundi bukan Melayu yang terlibat dalam PRK itu perlu diambil perhatian yang serius oleh parti-parti kerajaan perpaduan.

“Data-data yang menunjukkan peratusan keluar mengundi yang rendah ini wajar diteliti dan dikaji serta dikenal pasti puncanya. Langkah-langkah sewajarnya mesti diambil bagi menangani apa jua isu berbangkit.

“Meskipun mungkin difahami bahawa pengundi bukan Melayu kurang berminat dengan PRK, namun sekiranya pola ini berterusan ia merupakan satu petanda yang tidak begitu positif kepada BN-PH.

“Pendekatan serta kaedah kempen yang lebih sesuai dengan elemen-elemen kepelbagaian kaum di negara ini wajar diambil kira,” katanya yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi.

Mazlan Ali

Penganalisis politik, Prof Madya Mazlan Ali, pula berpandangan perkembangan ekonomi acuan Malaysia Madani semakin membuka mata golongan pertengahan Melayu.

Katanya, kelompok pengundi itu di kawasan bandar - Mahkota khususnya - merasai kesan pentadbiran kerajaan.

“Golongan ini adalah pengundi kritis yang mencerap perkembangan semasa dalam membuat pilihan.

"Faktor ekonomi, perubahan dasar dan polisi pentadbiran semasa mengubah pandangan mereka.

“Begitu juga dengan golongan penjawat awam yang menyedari langkah positif kerajaan seperti menangani isu kenaikan gaji.

“Perkara seumpama ini menjadi perkiraan untuk mereka membuat peralihan sokongan, namun ia tidak berkesan untuk pengundi yang taasub kepada parti semata-mata,” katanya yang juga pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS