Ketika Iran bersiap sedia untuk berdepan serangan daripada Israel, Presiden China Xi Jinping berjanji untuk menjalin hubungan yang lebih kukuh dengan republik Islam itu semasa pertemuannya dengan rakan sejawatannya itu, Masoud Pezeshkian semalam.
“Tanpa mengira perubahan dalam situasi antarabangsa dan serantau, China akan terus membangunkan kerjasama dengan Iran.
“China menyokong Iran dalam menjaga kedaulatan negara, keselamatan dan maruahnya, memajukan pembangunan ekonomi dan sosialnya secara berterusan, serta memperbaiki dan memperdalam hubungan kejiranan yang baik dengan negara jiran,” lapor South China Morning Post memetik Xi sebagai memberitahu Pezeshkian semasa menghadiri sidang kemuncak Brics di Kazan barat daya Rusia.

Rusia juga menyatakan dengan jelas bahawa ia tidak akan meninggalkan Iran pada masa ia memerlukan.
“Kami sedang membangunkan kerjasama dengan Iran dalam pelbagai bidang. Kami berhasrat untuk melanjutkan lagi kerjasama ini,” kata setiausaha akhbar Kremlin Dmitry Peskov.
"Ia sama sekali tidak ditujukan kepada negara ketiga," tambahnya.
Preskov ditanya bagaimana Rusia melihat status hubungannya dengan Iran semasa ketegangan yang memuncak di Asia Barat.
Dia juga disoal tentang bagaimana Kremlin akan mengimbangi kepentingan dan pakatan yang bertentangan di rantau ini.
Dalam perkembangan berasingan, Reuters melaporkan tentera Israel sebagai menyatakan bahawa ia telah membunuh seorang komander Hamas yang juga bekerja untuk agensi bantuan PBB (UNRWA) di Semenanjung Gaza.

Tentera Israel mendakwa bahawa lelaki itu terbabit dalam serangan 7 Okt 2023 ke atas Israel selatan.
Israel menuduh UNRWA mempunyai ramai pekerja yang menganggotai Hamas dan kumpulan bersenjata lain.
Pada Ogos, UNRWA berkata ia telah menamatkan pekerjaan sembilan kakitangan yang mungkin terlibat dalam serangan 7 Okt.
