Syarikat media sosial Meta yang memiliki platform Facebook, Instagram dan Whatsapp meminta kerajaan melanjutkan tarikh akhir pendaftaran pelesenan media sosial, yang telah dijadualkan berkuat kuasa 1 Jan ini.
Dalam temu bual dengan Malaysiakini semalam, pengarah dasar awam Meta untuk Asia Tenggara, Rafael Frankel membangkitkan kebimbangan gergasi teknologi itu terhadap apa yang disifatkannya sebagai "garis masa yang sangat dipercepatkan" untuk mematuhi peraturan baru berkenaan.
Kebimbangan itu terutamanya berhubung kewajipan yang tidak jelas yang akan dikenakan oleh kerajaan ke atas platform berkenaan, menurut eksekutif itu.
"Mereka baru sahaja mengeluarkan kod kelakuan, dan kami kini memberikan maklum balas kami buat kali pertama. Kami masih belum melihat rang undang-undang keselamatan dalam talian.
"Dan itu akan menjadi jenis peraturan yang mereka akan gunakan untuk menguatkuasakan rejim pelesenan, dan memutuskan sama ada kita mematuhinya atau tidak.
"Jadi, diminta untuk mendaftar untuk mendapatkan lesen sebelum anda tahu apa kewajipan yang akan anda pegang, itu membimbangkan.
"Jadi kami telah berkata kepada kerajaan berkali-kali bahawa garis masa adalah satu isu, ia adalah kebimbangan, dan itu membawa kepada jenis kebimbangan keseluruhan dengan rejim (pelesenan) itu," katanya.

Temu bual eksklusif itu diadakan sehari selepas sepasukan wakil Meta yang diketuai oleh Frankel dilaporkan bertemu dengan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan pegawainya di Putrajaya untuk membincangkan kesediaan syarikat itu untuk peraturan pelesenan.
Pada Julai, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan rangka kerja kawal selia baru yang memaksa media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet memohon lesen.
Tak mahu halang inovasi
Rangka kerja itu berkuat kuasa pada 1 Ogos, tetapi syarikat itu mempunyai masa sehingga 1 Jan untuk mendapatkan lesen atau berdepan hukuman termasuk denda dan/atau penjara jika mereka terus beroperasi di Malaysia.
Frankel berkata Meta memahami keperluan mendesak yang dirasakan kerajaan untuk meletakkan rejim kawal selia, namun mereka bimbang dengan kepantasan ia dilaksanakan dan "sama ada ia akan membenarkan pertimbangan sewajarnya dibuat".
Dia berkata syarikat itu telah bekerjasama dengan banyak kerajaan lain di seluruh dunia mengenai peraturan media sosial, dan mereka mendapati model rangka kerja yang paling berjaya biasanya dibangunkan dalam langkah yang biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya "beberapa tahun".
Langkah-langkah itu termasuk memberi masa untuk penglibatan dan maklum balas yang sewajarnya dengan pemain industri dan organisasi masyarakat sivil, dan untuk pindaan dibuat sewajarnya kepada maklum balas.
Selain itu, menurut Frankel, platform media sosial juga diberi garis masa untuk membuat pelarasan yang diperlukan mengikut proses, operasi dan produk mereka.
"Kami pastinya tidak mahu melihat situasi di mana struktur kawal selia yang digunakan dengan pantas menghalang inovasi, menghalang pertumbuhan ekonomi digital.. Itu tidak akan menjadi hasil yang baik," katanya.
"Itu adalah salah satu perkara yang kami minta," kata Frankel sebagai menjawab soalan sama ada Meta telah meminta kerajaan untuk tempoh masa lanjutan mendaftar bagi pelesenan kawal selia.
