Kuala Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakub berkata, tindakan seorang anggota polis melepaskan empat das tembakan dalam kejadian rusuhan di Kuala Terengganu, malam Sabtu lalu adalah untuk mempertahankan dirinya.

Anggota polis terbabit, katanya, bertindak mengikut undang-undang kerana mempertahankan diri setelah diserang oleh sekumpulan lelaki yang merusuh.

Rusuhan di Jalan Sultan Mahmud itu tercetus selepas pihak polis tidak membenarkan satu ceramah anjuran badan pemantau pilihanraya, Bersih - gabungan badan bukan kerajaan dan parti pembangkang - di pantai Batu Buruk pada malam berkenaan.

"Anggota polis berusia 25 tahun terbabit bertindak demikian kerana berada dalam keadaan tertekan akibat diserang oleh sekumpulan lelaki (perusuh)," katanya ketika ditemui malaysiakini di pejabatnya Khamis lalu.

"Beliau (anggota polis) hanya mempertahankan diri setelah diserang oleh kumpulan lelaki berkenaan," katanya sambil menambah bahawa anggota polis terbabit berpangkat konstabel yang menjalankan tugas-tugas am.

Tujuh orang tercedera dalam insiden tersebut, termasuk empat anggota polis dan dua ahli PAS yang terkena tembakan seorang anggota polis.

Siasat dakwaan

Ayub berkata, pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dihantar ke tempat kejadian apabila anggota polis biasa tidak dapat mengawal keadaan.

Mengenai dakwaan ada anggota polis yang melakukan provokasi dalam kejadian tersebut, Ayub berkata, mereka perlu datang dan memberi bukti supaya polis dapat menyiasat dakwaan itu.

"Tampil ke depan dengan memberi bukti dan pihak polis akan menjalankan siasatan yang adil.

"Tugas anggota polis adalah untuk menjaga keselamatan rakyat dan bukannya menimbulkan masalah," katanya.

Ayub berkata, 23 orang telah disiasat kerana terlibat dalam rusuhan.

Katanya, polis mahu siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin sebelum berunding dengan Penolong Pendakwaraya (DPP) untuk tindakan lanjut.

Pelajar serah diri

Mengenai insiden pembakaran bendera Malaysia, Ayub berkata, siasatan masih dibuat dan mahu orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu.

"Perbuatan membakar bendera negara adalah sangat serius dan tidak sewajarnya dilakukan.

"Setakat ini Pemuda Umno negeri yang membuat laporan mengenai insiden pembakaran Jalur Gemilang itu," katanya.

Seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah agama di Binjai Bongkok, Marang dilaporkan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terenganu pagi semalam untuk membantu kes rusuhan dan membakar Jalur Gemilang.

Pelajar berusia 16 tahun yang berasal Kampung Tok Dir, Bukit Payung dekat Kuala Terengganu menyerah diri kira-kira jam 10.15 pagi semalam, dipercayai selepas gambarnya disiarkan di media massa.

Tolak permit

Sementara itu, Ayub sekali lagi menjelaskan bahawa pihak polis tidak mengeluarkan permit kepada Bersih untuk mengadakan ceramah di Pantai Batu Buruk kerana tempatnya tidak sesuai.

Masalah utama, katanya, ialah ketiadaan tempat letak kenderaan kerana kawasan itu tidak cukup ruang kerana ia kawasan kecil.

Polis, menurutnya, sebelum ini tidak pernah meluluskan permit ke atas premis terbabit untuk dijadikan tempat ceramah.

Tinjauan malaysiakini ke premis tersebut mendapati ia merupakan kawasan perumahan yang terletak berhampiran pantai dengan mempunyai sebatang jalan yang kecil.

"Di mana orang hendak letak kenderaan, bukan sahaja orang tempatan tetapi kita juga menjangkakan dari tempat-tempat lain.

"Ke mana hendak dihalakan pembesar suara. Kami mendapat maklumat ramai yang akan datang kerana penceramahnya ramai.

"Prosedur kami ialah apabila mendapat permohonan, polis akan melihat kesesuaian tempat dari segi keselamatan dan kelancaran trafik.

Cukup masa

"Untuk menggunakan kawasan pantai, penganjur perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan," katanya kepada malaysiakini.

Ayub juga berkata, rusuhan tersebut juga boleh dielak jika pucuk pimpinan PAS bekerjasama dengan menasihatkan orang ramai bersurai setelah ceramah dibatalkan.

"Mereka boleh memaklumkan kepada orang ramai supaya bersurai kerana ceramah dibatalkan tetapi mereka tidak beri nasihat kepada orang ramai yang datang," katanya.

Menurutnya, polis telah memberitahu penganjur bahawa permit tidak dikeluarkan pada 6 September lagi, sedangkan ceramah dijadual diadakan dua hari kemudiannya.

Beliau berkata, dengan tempoh masa itu, pihak penganjur mempunyai cukup masa untuk memaklumkan kepada penceramah mengenai pembatalan program tersebut.

Ayub berkata, pengeluaran permit ceramah adalah budi bicara polis setelah mengambilkira kesesuaian lokasinya.

Tolak dakwaan

"Sebelum meluluskan permit, perkara utama yang pihak polis lakukan ialah menyiasat lokasi sama ada sesuai atau tidak," katanya.

Sebelum ini, katanya, pihak polis telah membantu perhimpunan PAS di perkarangan Masjid Rusila, termasuk menyediakan anggota trafik bagi melancarkan lalulintas.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan bahawa polis menolak permohonan permit tersebut atas tekanan pihak lain.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali mendakwa polis menolak permit tersebut setelah mendapat arahan dari Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Salleh (foto) yang juga Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Bagaimanapun, Wan Farid ketika dihubungi menafikan telah menafikan dakwaan tersebut.