Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis gesa Iran bebaskan pelajar protes separuh bogel
Diterbitkan:  Nov 5, 2024 5:11 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Kumpulan aktivis hak asasi manusia menggesa Iran membebaskan pelajar yang ditahan kerana berpakaian separuh bogel bagi membantah undang-undang mewajibkan wanita bertudung.

Amnesty International berkata Iran perlu membebaskan pelajar universiti tersebut yang “ditahan secara ganas” itu tanpa syarikat, lapor media British BBC.

Amnesty International juga berkata sementara menunggu pembebasan, pihak berkuasa mesti melindunginya daripada penyeksaan dan layanan buruk serta membenarkannya berjumpa anggota keluarga.

“Dakwaan dia dipukul dan diganggu secara seksual semasa penahanan memerlukan siasatan bebas dan tidak memihak. 

“Pihak bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan,” katanya.

Kelmarin tular video pelajar itu tampil di tempat awam di Universiti Azad Islam di Teheran dengan hanya memakai seluar dalam dan coli.

Ibu kepada dua anak itu berbuat demikian sebagai tanda protes apabila anggota pasukan separa tentera Basij didakwa menggangun dan mengoyak bajunya kerana tidak memakai tudung.

Menurut BBC, kepala wanita cedera terhantuk semasa dibawa masuk ke dalam kereta dan dibawa ke lokasi yang tidak didedahkan.

Universiti Azad Islam berkata polis mendapati pelajar wanita itu mengalami gangguan psikologi dan tekanan mental yang teruk.

Dia dihantar ke sebuah hospital psikiatri di Tehran.

Pelapor Khas Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB) untuk Iran Mai Sato berkata di X akan memantau insiden itu dengan teliti termasuk tindakan pihak berkuasa.

Gelombang protes terhadap kod pemakaian di Iran meletus sejak 2022 berikutan kematian Mahsa Amini, wanita 22 tahun yang meninggal dunia dalam tahanan polis moral selepas ditangkap kerana tidak memakai tudung dengan betul.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS