Kontraktor pertahanan Malaysia, Leonard Francis, yang menjadi salah seorang defendan utama dalam skandal rasuah terburuk dalam sejarah Angkatan Laut AS, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun.
Menurut Pejabat Peguam AS di Selatan California hari ini, Francis - atau lebih dikenali sebagai Fat Leonard - menjadi dalang di sebalik skim rasuah dan penipuan yang menyasarkan Angkatan Laut AS.
Katanya lelaki terbabit dijatuhi hukuman 180 bulan penjara dan diperintahkan membayar pampasan sebanyak AS$20 juta kepada Angkatan Laut AS, selain denda sebanyak AS$150,000.
"Francis juga diperintah untuk menyerahkan perolehan haram berjumlah AS$35 juta hasil jenayah yang dilakukannya,” kata kenyataan tersebut.
Pada Dis 2023, Washington menandatangani perjanjian dengan Caracas untuk membebaskan enam warganegara AS yang ditangkap di Venezuela. Sebagai balasan Caracas akan mengekstradisi Francis yang melarikan diri ke Venezuela pada Sept 2022 semasa menjalani tahanan rumah.
Lelaki berusia 60 tahun itu pada asalnya ditangkap di AS pada 2013 atas tuduhan rasuah.
Syarikatnya, Glenn Defence Marine Asia, memberikan berjuta-juta dolar barangan bernilai dan wang tunai kepada kakitangan Tentera Laut AS dan kakitangan komando kerana menyokongnya semasa proses pemerolehan dan menyediakan maklumat sulit.
Francis mengaku bersalah atas semua pertuduhan, termasuk cubaan melarikan diri.
- Bernama/Sputnik/Ria Novosti
