PARLIMEN l Timbalan Perdana Menteri II Fadillah Yusof hari ini berkata dia terbuka untuk berbincang dengan ahli parlimen pembangkang mengenai peruntukan bagi kawasan masing-masing, walaupun secara individu.
Sebelum ini, Perikatan Nasional menolak cadangan kerajaan untuk memeterai memorandum persefahaman (MOU) kedua-dua pihak.

Bercakap di Dewan Rakyat, Fadillah berkata setakat ini hanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang mengemukakan maklum balas tentang draf MOU itu dan kerajaan sedang meneliti cadangan balasnya.
“Saya sedang meneliti segala cadangan balas oleh YB Muar dan ini akan dibincang dengan whip kerajaan, dan insya-Allah saya akan memanggil YB Muar nanti untuk respon balik kepada apa yang telah dikemukakan.
“Manakala kalau ada di kalangan individu ahli parlimen yang nak berbincang dengan saya di sebelah sana, saya terbuka tapi secara kelompok saya dikatakan sudah pun menolak (MOU) daripada keputusan pihak parti itu sendiri. Jadi saya tak dapat buat apa-apa,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyentuh isu peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang semasa ucapan penggulungan Rang Undang-undang Belanjawan 2025 petang tadi.
Pada September lalu, pemimpin PN menolak draf perjanjian Putrajaya mengenai peruntukan kawasan untuk ahli parlimen pembangkang.
Susulan itu, Fadillah berkata kerajaan akan menghormati penolakan pembangkang terhadap draf perjanjian itu.
