Pelajar buat laporan polis terhadap UPM

Wong Teck Chi & Yoges Palaniappan        

Pelajar tahun pertama Universiti Putra Malaysia (UPM), Yee Yang Yang telah membuat laporan polis terhadap unit keselamatan UPM yang didakwanya telah mencuri komputer riba milik, telefon bimbit serta MP3 bernilai RM6,000 malam Jumaat lalu.

Bagaimanapun, ketua balai tersebut, Cif Inspektor Mohd Haide, didakwa cuba memujuk Yee supaya tidak membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Seorang rakan Yee yang menemaninya membuat laporan polis, Teh Yee Keong, mendakwa Mohd Haide telah memujuk Yee supaya mengambil iktibar terhadap apa yang telah berlaku ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Yee tetap dengan keputusannya untuk membuat laporan polis tersebut.

Sebelum itu, ketika bercakap dalam sidang akhbar di UPM, Yee berkata barang-barang miliknya itu dirampas apabila unit keselamatan kampus UPM membuat pemeriksaan mengejut di bilik asramanya. Dokumen-dokumen lain juga turut dirampas.

Yee, seorang pelajar teknologi balak, juga turut disoalsiasat mengenai pembabitannya dalam politik pelajar.

Walaupun dia diberitahu bahawa semua barang-barang tersebut akan dipulang kepadanya Sabtu lalu, tetapi ia tidak menjadi kenyataan - dan pertemuan selama 75 minit dengan pengarah unit tersebut, Mejar Othman Jailani hari ini juga tidak membawa sebarang hasil.

'Bersikap biadap'

"Mereka (pegawai keselamatan) mahu saya memberitahu mereka kata-laluan telefon saya dan komputer riba saya supaya mereka dapat memeriksa kandungannya," katanya kepada pemberita di luar pejabat keselamatan kampus petang tadi.

"Saya enggan. Saya mahu mereka memulangkan barang-barang saya dan memohon maaf kepada saya secara terbuka kerana mereka tidak mematuhi prosedur ketika merampas barang-barang milik saya itu.

"Bukan sahaja mereka tidak memakai uniform, tetapi mereka juga bersikap biadap bila saya bertanya soalan," katanya.

Sidang akhbar tersebut dipantau rapi oleh kira-kira 25 pengawal keselamatan di depat pejabat tersebut.

Mereka kemudiannya enggan membenarkan wartawan masuk ke pejabat untuk mendapatkan komen.

Beberapa orang pelajar, yang kelihatan mesra dengan kakitangan di situ, dilihat mengambil foto para wartawan dan kira-kira 20 penyokong Yee.

Yee adalah dari kem 'anti-establishment' dan kejadian tersebut disyaki ada kaitan dengan pilihanraya kampus.

Pertandingan dalam pilihanraya kampus sebahagian besarnya membabitkan puak 'anti-establishment' dengan puak yang pro-kerajaan - kini sedang membuat persiapan untuk pilihanraya tersebut yang dijangka diumumkan tidak lama lagi.

Tahun lalu, puak anti-establishment yang dianggap sebaga pro-pembakangkang, telah memboikot pilihanraya kampus kerana mendakwa peraturannya terlalu menekan mereka.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kumpulan pelajar yang tidak menyokong puak Aspirasi yang pro-kerajaan terpaksa berdepan dengan gangguan dan ugutan dari pihak berkuasa kampus.

Keluarkan surat

Dalam sidang akhbar tersebut, Yee menceritakan apa yang berlaku pada pagi Sabtu lalu apabila dia pergi ke pejabat unit keselamatan untuk mendapatkan semua barang-barangnya yang dirampas itu.

"Tidak seorangpun yang melayan pertanyaan saya. Malah mereka tidak membenarkan saya masuk," katanya, sambil menambah dia menunggu sehingga tengahari untuk berjumpa dengan pegawai di situ.

"Mereka kemudiannya memberi saya sepucuk surat yang menyenaraikan barang-barang yang mereka rampas, tetapi ia tidak menyatakan sebab mereka bertindak demikian.

"Saya terus menuntut barang-barang saya dipulangkan, tetapi mereka mencetak sepucuk lagi surat dan berjanji yang saya boleh mengambil semula barang-barang saya hari ini (Isnin)," katanya.

Apa yang berlaku pada hari Sabtu lalu telah dirakamkan dalam video selama sembilan minit oleh rakan-rakannya.

Ia termasuk keadaan tegang yang berlaku antara pelajar-pelajar berkenaan dengan Zamali Samsi, ketua Unit Pasukan Khas universiti berkenaan, satu badan pemantau pelajar yang merupakan sebahagian daripada pihak keselamatan kampus.

Para pelajar berkenaan bertindak berdiri di depan dan belakang kereta yang membawa Zamali untuk menghalangnya daripada beredar dari situ sehinggalah mereka mendapat surat pengakuan [lihat video di bawah].

Yee juga berkata dua kali percubaannya untuk membuat aduan polis terhadap unit keselamatan itu Sabtu lalu telah gagal kerana anggota polis balai Sri Serdang telah menghubungi anggota keselamatan universiti dan diberitahu yang dia akan mendapat balik barang-barangnya yang dirampas itu. Berita asal

Klik untuk saksi video Saksikan klip video kedua

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In