Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Jelas tragedi maut Zulfarhan tak ubah ‘mindset’ pelatih

Tidak sampai sebulan selepas pendedahan kes buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dilaporkan satu lagi kes buli, kali ini melibatkan seorang kadet junior mengalami kecederaan retak tulang rusuk dan tulang belakang.

Insiden ini amat memalukan nama universiti berprestij ini yang berperanan melatih bakat dan pelapis masa depan untuk Angkatan Tentera Malaysia. Malah, di media sosial, ramai juga netizen yang menggesa pembubaran UPNM ini, dan para pelajar serta ahli akademik dan staf dipindahkan ke institut pendidikan tinggi yang lain.

Jelas sekali, tragedi maut yang melibatkan allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu tidak berjaya mengubah pemikiran, atau mindset pelatih dan jurulatih di UPNM.

Sebagai peguam dan pernah menyertai askar wataniah, saya merasakan perlunya langkah yang konstruktif diambil untuk mengubah mentaliti bahawa perkara buli adalah perkara biasa.

Sedia maklum tindakan membuli yang mengakibatkan kecederaan boleh dituduh mengikut Seksyen 323, 324 dan kesalahan berkaitan perkataan atau isyarat yang bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang di bawah seksyen 509 Kanun Keseksaan. 

Bagi kesalahan bawah Seksyen 324 pula, hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda boleh dikenakan mengikut Seksyen 325. Mungkin tiba masa undang-undang yang mengenakan hukuman lebih ketat digubal bagi membanteras gejala buli yang tidak berkesudahan ini.

Dalam masa sama, MCA yakin bahawa pelatihan kadet UPNM boleh dibuat tanpa membabitkan pembulian junior oleh senior. 

Bagi pembuatan ragging atau hazing pula, ia harus dipantau dengan teliti oleh seorang penyelia untuk memastikan kegiatan ini tidak menjadi terlampau. 

Kegiatan hazing ini juga perlu ada matlamatnya, iaitu untuk membina mentaliti yang kuat, dan sikap sabar atau tenang apabila menghadapi dugaan.

Alasan “gurauan” atau “main-main sahaja” di kalangan kadet tidak boleh diterima langsung, dan staf UPNM juga harus dipertanggungjawabkan. 

Kakitangan UPNM juga tidak harus bergantung kepada hukuman semata-mata untuk menghalang kes buli, sebaliknya perlu mengambil langkah proaktif untuk mengubah cara pemikiran bahawa buli ini sebahagian latihan, kerana dibimbangi menjadi luar kawalan sehingga menyebabkan kecederaan serius.

 Satu mekanisme juga harus dilaksanakan untuk membolehkan junior membuat aduan terhadap mana-mana senior yang membuli. 

Kami sedar bahawa UPNM mahu memupuk pengajaran menurut perintah tanpa menyoal arahan senior, tetapi kuasa ini jelas sekali telah disalah guna segelintir senior, dan ini tidak patut berlaku.

Diharapkan pihak UPNM boleh melakukan penilaian semula terhadap cara operasinya untuk memastikan gejala buli ini dihentikan sama sekali, dan nama UPNM dapat dimartabatkan semula.


CHAN QUIN ER ialah pengerusi Biro Penerangan MCA.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS