Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | 'Lemon law' merujuk peraturan pampasan kepada pembeli kereta dan barangan pengguna lain terhadap produk yang gagal memenuhi piawaian kualiti serta prestasi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata kajian mengenai keperluan 'lemon law' di Malaysia akan diselesaikan tidak lama lagi.

'Lemon law' merujuk peraturan pampasan kepada pembeli kereta dan barangan pengguna lain terhadap produk yang gagal memenuhi piawaian kualiti serta prestasi.

Kajian terhadap undang-undang yang melindungi pengguna daripada membeli kenderaan cacat ini bermula pada bulan Jun dan dijangka selesai pada bulan ini sebelum dirujuk ke kabinet, kata Armizan di Dewan Rakyat hari ini.

“Dalam masa terdekat kita akan membuat keputusan dasar di peringkat kementerian, sama ada kita menambahbaik kerangka perundangan sedia ada atau pun wujudnya keperluan untuk menggubal satu akta yang baru.

"Sebaik keputusan dasar di peringkat kementerian dilaksanakan, kita akan angkat untuk pertimbangan jemaah menteri,” katanya ketika berucap merujuk Belanjawan 2025.

Jun lalu, dia berkata sekumpulan pakar undang-undang dilantik untuk menyediakan laporan mengenai amalan terbaik yang digunakan di negara-negara lain serta mengadakan sesi libat urus.

Buat masa ini, kementerian telah melaksanakan strategi sementara untuk melindungi pengguna dan menubuhkan pasukan rundingan bagi aduan kenderaan bermotor, kata Armizan.

"Melalui pasukan ini, kita menjadi komponen yang akan menemukan di antara pembeli dan juga pengeluar dan juga pengedar untuk mereka menyelesaikan sebarang isu-isu yang berbangkit pada kadar segera,” katanya.

Antara 1 Jun hingga 31 September, pasukan ini telah menerima 16 aduan yang telah disiasat, tambahnya.

Strategi kedua menurutnya dengan memperkasakan Tribunal Tuntutan Pengguna melalui kerjasama strategik dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

Jelasnya lagi isu ini bermula dengan Akta Sewa Beli 1967 yang mengiktiraf bank sebagai pemilik kenderaan semasa pembayaran pinjaman.

Ini kata Armizan menyebabkan kesukaran bagi Tribunal itu kerana mereka yang membayar pinjaman sukar mendapatkan surat kebenaran daripada bank mereka.

Katanya, BNM telah mengeluarkan arahan kepada bank untuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memudahkan proses berkenaan.

BNM juga telah meminta bank untuk menubuhkan unit khas bagi memproses permohonan surat kebenaran ini, tambah Armizan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS