Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Operasi papan tanda DBKL bukan isu bawah Kementerian Perpaduan’

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang dilihat cuba meredakan kebimbangan berhubung operasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap papan tanda yang tidak menonjolkan bahasa Melayu menurut undang-undang.

Bercakap kepada wartawan semasa Sidang Keamanan Antara Agama Antarabangsa di Kuala Lumpur hari ini, Aaron merujuk kenyataan menteri lain ketika ditanya berkenaan perkara itu.

"Saya rasa Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya (Tiong King Sing) sudah menjawab isu ini, jadi pada saya tidak ada isu," katanya.

Ditanya jika kementeriannya merancang program khusus untuk mencegah isu serupa daripada berulang, Aaron sekali lagi menyerahkan perkara itu kepada kementerian dan agensi lain.

"Biarlah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pihak berkuasa tempatan (menentukan) perkara ini. Pada saya, sepatutnya tidak ada isu," katanya lagi.

Pada 21 November lalu, DBKL melancarkan operasi besar-besaran ke atas papan tanda yang tidak mematuhi peraturan di beberapa kawasan di ibu kota, termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang.

Operasi tersebut melibatkan pasukan penguat kuasa dan perlesenan DBKL, pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan polis.

Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun, mengkritik operasi tersebut, menyifatkannya sebagai terlalu tergesa-gesa dan mengganggu.

Tion pula berkata sejumlah pelancong bertanya jika Malaysia adalah sebuah negara rasis atau ekstremis agama, susulan operasi tersebut.

Kenyataan Tiong mencetuskan respons Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang mendakwa perniagaan yang sebenarnya memupuk isu perkauman.

Sementara itu, Aaron turut mengulas kemungkinan Malaysia menerima kunjungan Pope Francis yang terkenal dengan usaha mempromosikan hubungan antara agama.

Ditanya jika negara bersedia untuk menyambut kunjungan pemimpin Gereja Katolik itu sama ada di Kuala Lumpur atau Sarawak, yang mempunyai komuniti Katolik yang besar, dia menjawab ringkas: "Saya harap begitu. Kita terbuka."

Pada September lalu, Pope Francis melawat Indonesia sebagai sebahagian daripada lawatan Asia Pasifiknya. Semasa lawatan itu, dia bersama Imam Besar Indonesia Nasaruddin Umar menandatangani deklarasi bersama yang memberi peringatan tentang penyalahgunaan agama untuk mencetuskan keganasan dan konflik.

“Fenomena nyahkemanusiaan (dehumanization) di peringkat global ditanda khususnya dengan konflik dan keganasan yang kian meluas. Amat membimbangkan apabila agama sering digunakan dalam hal ini.

“Peranan agama seharusnya termasuklah mengangkat dan menjaga maruah setiap manusia,” kata deklarasi itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS