PAS berhak menutut calon perdana menteri daripada parti itu, kata Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin hari ini.
Bagaimanapun Presiden Bersatu itu berkata keputusan ditentukan oleh pemimpin semua parti komponen dalam gabungan itu.
"Perkara seperti itu pasti akan dibincang, dan nanti keputusan dibuat oleh pimpinan parti, bukan oleh saya," katanya pada sidang media selepas perhimpunan agung Bersatu di Shah Alam.
Minggu lalu, PAS menafikan menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum akan datang, dengan menyatakan gabungan itu belum memutuskan perkara itu.
Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata Bersatu tidak boleh mengenepikan PAS dalam menentukan calon bagi jawatan penting berkenaan melainkan ia dipersetujui bersama, ketika mengulas kenyataan Ahmad Faizal Azumu mengenai Muhyiddin sebagai calon tunggal PN untuk jawatan tertinggi negara.
Semasa temu bual dengan Malaysiakini baru-baru ini, naib presiden Bersatu yang baru dilantik itu berkata jika mana-mana pihak dalam gabungan itu mempunyai cita-cita untuk menjadi perdana menteri, mereka perlu memadamkan hasrat berkenaan.
Sebaliknya, Hashim berkata PAS lebih sesuai untuk jawatan itu dan meminta Bersatu mengakui kelemahannya dan menerima kedudukan semasa.
Pelantikan Azmin
Sementara itu, Muhyiddin juga berkata sebagai pengerusi PN, dia berhak melantik setiausaha agung dan timbalan setiausaha agung gabungan itu.
Dia menjawab soalan mengenai PAS yang seolah-olah tidak bersetuju dengan pelantikan bekas menteri besar Selangor Azmin Ali sebagai setiausaha agung PN baru-baru ini.
"Walaupun dalam perlembagaan PN dia kata setiausaha-agung, timbalan setiausaha-agung PN akan dilantik oleh pengerusi.
“Itu dalam perlembagaan (PN). Tetapi walaupun begitu, kita akan bincangkan (ia) dalam mesyuarat akan datang,” kata Muhyiddin.

Pada Rabu (27 Nov), ahli parlimen PAS, Ahmad Marzuk Shaari menyifatkan pelantikan Azmin sebagai setiausaha agung sebagai masih berstatus "cadangan semata-mata".
Sehari sebelumnya, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Setiausaha Agung parti itu Takiyuddin Hassan menggantikan Hamzah Zainudin sebagai setiausaha agung PN yang baru.
Bagaimanapun, Naib Presiden PAS Idris Ahmad menafikan laporan media yang mendakwa parti Islam itu menentang pelantikan Azmin sebagai setiausaha PN.
"Itu (laporan) daripada mana? Musuh ke? Kalau (memetik) sumber, tak boleh. Sumber ni bisikan-bisikan syaitan," kata ahli parlimen Bagan Serai itu.
