Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengasas Bestinet miliki hartanah mewah jutaan ringgit di Dubai

Pengasas syarikat teknologi pengambilan pekerja asing yang kontroversi Bestinet, termasuk dalam kalangan kira-kira 300 rakyat Malaysia yang memiliki hartanah mewah di Dubai, Emiriah ARab Bersatu (UAE).

Menurut data hartanah yang bocor, yang diperoleh Malaysiakini melalui sebuah konsortium wartawan penyiasatan, bekas presiden Bestinet, Aminul Islam Abdul Nor memiliki sebuah kediaman mewah empat bilik di Sidra Villas, yang terletak di kawasan eksklusif Dubai Hills Estate.

Kediaman mewah ini mempunyai empat bilik tidur dengan keluasan binaan 3,595.25 kaki persegi, menurut data hartanah yang bocor melalui konsortium Organized Crime and Corruption Reporting Project (OCCRP).

Hartanah serupa di kawasan yang sama diiklankan untuk dijual dengan harga AED 7.5 juta (RM8.76 juta).

Gambaran artis mengenai Sidra Villas.

Pembangun hartanah, Emaar Properties menggambarkan kawasan itu sebagai "komuniti berprestij yang mencerminkan kehidupan bandar yang canggih."

Selain vila mewah ini, rekod hartanah Dubai turut menunjukkan Aminul memiliki dua unit pejabat di The Binary by Omniyat, sebuah pencakar langit ikonik di kawasan Business Bay.

Menurut anggaran laman hartanah Bayut.com, unit pejabat di situ dijual antara AED 700,000 (RM817,000) untuk ruang seluas 896 kaki persegi hingga AED 3.8 juta (RM4.43 juta) untuk 3,393 kaki persegi.

Unit dimiliki Aminul masing-masing berkeluasan 2,292.93 dan 1,647.42 kaki persegi, seperti yang dinyatakan dalam dokumen bocor itu.

Pencakar langit The Binary by Omniyat.

Ketika dihubungi, Aminul enggan memberi komen tetapi seorang sumber yang rapat dengannya mengesahkan hartanah itu memang miliknya.

Sumber itu juga berkata pembelian hartanah berkenaan dilakukan secara sah.


BACA BERKAITAN:

Duit gelap beli hartanah di UAE


Meskipun memiliki hartanah di Dubai tidak menyalahi undang-undang, pakar berkata pasaran hartanah Dubai menarik perhatian spekulator, pencuci wang dan pengelak cukai disebabkan prasarana ketiadaan cukai, terutama cukai keuntungan modal dan sewa.

Pengasas dan bekas presiden Bestinet, Aminul Islam Abdul Nor .

Dokumen yang diteliti Malaysiakini tidak menunjukkan aset Aminul diperolehi melalui cara mencurigakan atau sumber pendapatannya meragukan.

Namun, pemilikan hartanah mewah Aminul cukup ketara berbeza jika dibanding dengan keadaan warga Bangladesh, yang dilaporkan terpaksa ‘bergolok-bergadai’ menjual tanah keluarga untuk membayar caj tinggi agensi penambilan pekerj asing demi menjadi buruh kolar biru di Malaysia.

Tuduhan pengubahan wang

Pada akhir Oktober, kerajaan Bangladesh menulis kepada polis Malaysia meminta menangkap dan mengekstradisi Aminul serta rakan perniagaannya dalam urusan pekerja migran, Ruhul Amin @ Swapon, atas tuduhan pengubahan wang, pemerasan dan pemerdagangan pekerja migran.

Dokumen rasmi menunjukkan Catharsis Solutions Ltd milik Ruhul Amin pernah dikenali sebagai Bestinet Bangladesh.

Ruhul mengendalikan Catharsis International, sebuah syarikat pengambilan pekerja migran di Bangladesh, tetapi turut dilaporkan secara meluas sebagai rakan kongsi Aminul.

Menurut dokumen rasmi yang didapatkan oleh organisasi media Prothom Alo, Bestinet Bangladesh Ltd didaftarkan pada 24 Mac 2014 di Bangladesh dengan Aminul sebagai pengerusi dan Ruhul sebagai pengarah urusan.

Berdasarkan dokumen Syarikat dan Firma Saham Bersama Bangladesh, Aminul memindahkan semua sahamnya kepada Ruhul pada 201, dan pada 2022, syarikat itu dinamakan semula sebagai Catharsis Solutions Ltd.

Pihak berkuasa Malaysia mengesahkan menerima surat permohonan ekstradisi tersebut dan membalas dengan meminta polis Bangladesh mengemukakan permohonan rasmi.

Gambar hiasan.

Berdasarkan wawancara bersama pihak industri, media Bangladesh Prothom Alo pada September melaporkan Aminul dan Bestinet dituduh melakukan pengubahan wang haram melalui yuran pengambilan pekerja migran, melibatkan jumlah sebanyak Tk 87.50 bilion (RM3.22 bilion).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membersihkan syarikat itu daripada dakwaan tersebut manakala firma dan peguam mewakili Aminul, N Sivanathan berkata anak guamnya dituduh secara salah atas tuduhan pengubahan wang haram.

Aminul merupakan penggerak utama Sistem Pengurusan Pusat Pekerja Asing (FWCMS) dan telah mengawal Bestinet sejak awal penubuhannya. Namun kini, dia hanya memiliki satu peratus saham dalam syarikat tersebut.

Selebriti dan penceramah motivasi Abdullah Sher Kawi Jaafar, yang terkenal dengan penampilannya sebagai jurulatih dalam rancangan realiti TV Akademi Fantasia, kini memegang 93.45 peratus saham dalam syarikat itu.

Kontroversi panjang

Bestinet sudah lama dibelenggu kontroversi, bermula pada 2015 apabila Sistem Pengurusan Pusat Pekerja Asing (FWCMS) yang disediakan untuk kerajaan digantung penggunaannya atas dakwaan bahawa ia memperoleh kontrak tersebut melalui hubungan politik, termasuk dengan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azmi Khalid.

Ketika itu, Azmi memberi maklum balas berkata perjanjian tersebut belum ditandatangani dan hanya berada pada peringkat bukti konsep.

Walaupun digantung pada awalnya, sistem tersebut kemudian digunakan semula oleh agensi kerajaan untuk memproses ratusan ribu pekerja asing yang memasuki Malaysia setiap tahun.

Namun, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara mendapati tiada kontrak rasmi antara kerajaan dan Bestinet.

Ini meskipun syarikat itu mengenakan caj RM100 kepadai setiap pekerja untuk perkhidmatan tersebut.

PAC mendapati kabinet pada Ogos 2015 bersetuju untuk mencuba sistem FWCMS dan satu lagi sistem yang disediakan oleh penyedia lain, iaitu ePPAx.

ePPAx dibangunkan oleh Syarikat Ivy Matrix Sdn Bhd, yang memenangi projek bernilai RM20 juta daripada Kementerian Sumber Manusia melalui tender terbuka.

PAC juga mendapati kedua-dua sistem FWCMS dan ePPAx mempunyai fungsi sama, untuk “memproses pekerja asing dari peringkat permohonan sehingga tamat pekerjaan dan kembali ke negara asal.”

Individu tak sah guna FWCMS lulus permohonan

Walaupun ePPAx telah dibangunkan, Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk menggunakan FWCMS, dan pada 2018 mengeluarkan "surat setuju terima" kepada Bestinet supaya membangunkan, membekalkan, menyediakan dan menyelenggara FWCMS selama enam tahun bermula 1 April 2018 hingga 31 Mei 2024.

Pada 22 Disember 2021, kabinet pimpinan perdana menteri Ismail Sabri ketika itu bersetuju menggunakan FWCMS secara eksklusif, tetapi tiada kontrak rasmi dimuktamadkan.

Hamzah Zainuddin merupakan menteri dalam negeri pada masa itu.

“Ini bermakna kerajaan/ Kementerian Dalam Negeri telah menggunakan sistem FWCMS selama kira-kira enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan, jelas melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” kata PAC pada satu kenyataan.

PAC juga mengemukakan isu lain, termasuk sistem rentan yang terdedah kepada penggodaman serta potensi penipuan dalam pengurusan pekerja migran.

Walaupun dengan isu-isu ini, kabinet pada Jun lalu bersetuju melanjutkan kontrak Bestinet selama enam tahun lagi, tetapi dengan penambahbaikan dalam tadbir urus.


ESOK: Siapa Aminul Islam?


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS