Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil enggan menjawab secara langsung soalan wartawan sama ada dia menentang atau tidak cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA).
Ketika didesak wartawan yang berarak ke Parlimen hari ini mengenai pendiriannya berhubung isu itu, Fahmi berkata dia tidak boleh mengulas memandangkan akta tersebut bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya.

“Saya tidak boleh mengambil kira inisiatif daripada kementerian lain, tetapi saya rasa anda semua tahu di mana kedudukan saya secara peribadi,” katanya.
PPPA terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ketika ditanya sama ada dia tidak menyedari mengenai pindaan itu, Fahmi bagaimanapun enggan memberi jawapan secara langsung, dengan alasan perbincangan kabinet yang bersifat sulit.
“Saya sedar beberapa perkara, tetapi seperti yang anda tahu, perbincangan Kabinet adalah sulit. Ada perkara yang saya boleh dan tidak boleh maklumkan.
“Yang penting kita mahu suasana yang positif bagi media untuk terus beroperasi dengan baik di samping menjaga hak dan kebebasan media... suara rakyat amnya,” katanya lagi selepas menerima memorandum tersebut.
Memorandum itu diserahkan kepada Fahmi dan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Tunku Nashrul Tunku Abaidah oleh sekretariat Fourth for The Fourth (404) di persimpangan Jalan Parlimen berdekatan laluan masuk ke Bangunan Parlimen hari ini.
Kumpulan itu mewakili Gerakan Media Merdeka (Geramm), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (Nujm) dan Centre of Independent Journalism (CIJ).
Memorandum tersebut, antara lain memperjuangkan kebebasan media dan membantah cadangan pindaan PPPA.
Pindaan yang dicadangkan itu dilaporkan termasuk memperkenalkan semula skim pelesenan tahunan untuk penerbitan media dan memperluaskan PPPA kepada media dalam talian.

Semalam, dilaporkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan rancangan untuk membentangkan cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) ditangguhkan sementara menunggu libat urus dengan semua pihak berkepentingan.
Saifuddin berkata ini kerana kerajaan mengutamakan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) yang turut memberi kesan kepada wartawan dan industri media.
Fahmi kemudiannya memberi jaminan kepada media bahawa dia akan mengemukakan kebimbangan mereka kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Saya akan membawa isu yang dibangkitkan - bukan sahaja yang disuarakan hari ini tetapi juga yang dikongsi semasa pelbagai sesi penglibatan, mesyuarat dan perbincangan dengan komuniti media.
“Saya akan pastikan perkara ini disampaikan kepada perdana menteri atas kesedaran dan pertimbangannya,” katanya.

Fahmi turut berkongsi bahawa kementeriannya sedang berusaha untuk membentangkan bacaan kali pertama Akta Majlis Media Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha untuk menguruskan hal ehwal media dengan lebih baik.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mengakui cabaran besar yang dihadapi oleh industri, terutamanya kerugian akibat platform media sosial.
“Realiti hari ini ialah industri media sedang menghadapi cabaran dan ujian yang amat besar, termasuk isu yang berpunca daripada media sosial. Salah satu cabaran ini ialah kehilangan pendapatan yang disebabkan oleh media sosial, antara lainnya,” katanya.
