Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Ong Kian Ming mempersoalkan cadangan seorang ahli parlimen PKR untuk mewajibkan penjawat awam mengisytiharkan harta terlebih dahulu sebelum melaksanakannya kepada ahli politik.
“Mengapa penjawat awam perlu mendahului dalam mengisytiharkan harta mereka dan bukannya ahli politik yang dipilih?
“Bukankah ketelusan sesuatu yang disokong oleh kerajaan Madani?” soalnya menerusi akaun Instagramnya semalam.
Ong mengulas cadangan ahli parlimen Subang, Wong Chen dalam satu wawancara dengan sebuah portal berita yang disiarkan semalam.
Dalam wawancara tersebut, Wong berkata: “Jika kita tidak dapat melakukannya kerana sekutu-sekutu kita tidak berminat dengan isu sebegini, sekurang-kurangnya kita laksanakan ke atas penjawat awam.”
“Mudah-mudahan apabila ahli politik kita sudah bersedia, mungkin mereka boleh melakukannya. Calon-calon PKR terkenal dengan pengisytiharan harta menjelang pilihan raya, namun kita tidak mahu memaksa DAP dan Umno.

“Namun saya fikir sekurang-kurangnya kita mesti laksanakan ia di peringkat perkhidmatan awam. Langkah ini akan jadi suatu penambahbaikan yang besar,” kata Wong.
Wong mengulas markah rendah diberikan badan pemantau pilihan raya, Bersih terhadap kerajaan sepanjang dua tahun pentadbirannya.
Pengisytiharan aset dilaksanakan pada tahun 2018 dan meliputi anggota kerajaan yang dipimpin oleh PH serta ahli parlimennya.
Parti pembangkang pada masa itu menolak usaha untuk memperluaskan amalan ini kepada semua ahli parlimen.
Menjelang pilihan raya 2022, PH berjanji bahawa semua menteri, ahli parlimen, pegawai kanan kerajaan, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan, serta pasangan dan ahli keluarga terdekat mereka yang berumur 18 tahun ke atas perlu mengisytiharkan harta mereka, seperti yang dilakukan selepas pilihan raya 2018.
Namun, pada tahun lepas, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menggambarkan sistem pengisytiharan harta sebelum ini sebagai satu sandiwara yang tidak mencerminkan kekayaan sebenar seseorang pegawai, dan menyatakan bahawa SPRM sedang menambah baik sistem tersebut.
Setakat ini, portal deklarasi aset SPRM masih memaparkan notis menyatakan bahawa ia "ditutup sementara" sejak November 2022.
