ULASAN SUKAN | Rombongan 11 pemain badminton negara ke Hangzhou, China kali ini boleh ditakrif sebagai memiliki perwatakan meyakinkan untuk tampil gah mengintai peluang kejuaraan - sekali gus menamatkan kemarau tujuh tahun negara.
Bandar raya di China itu bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 yang berlangsung pada 11 hingga 15 Dis ini. Ia adalah detik bagi jagoan negara membuktikan mereka mampu menyertai golongan elit dunia dengan menjadi gergasi baru.
Misi kali ini seharusnya bukan setakat mampu naik ke podium tetapi pulang sebagai juara dalam mana-mana lima kategori yang dipertandingkan iaitu perseorangan lelaki, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Tanpa kehadiran beberapa pemain dalam ranking teratas dunia - termasuk juara Sukan Olimpik 2024, Viktor Axelsen serta pasangan beregu lelaki nombor satu dan nombor dua dunia - dari China dan Korea Selatan - jelas wira negara kita memanfaatan sebaik mungkin kesempatan ini.
Beregu wanita dan beregu campuran tidak berada jauh berbanding atlet dari negara lain dan mampu merebut tiket ke perlawanan separuh akhir berasaskan prestasi semasa dengan syarat mereka tidak gugup dalam gelanggang kejohanan penutup tirai tahun ini.
Terbit satu keyakinan kali ini betapa setiap pemain utama badminton negara ada perwatakan tersendiri berdasarkan persembahan cukup memberangsangkan disajikan mereka setakat ini.
Antaranya memenangi beberapa gelaran Siri Super yang menjadi suatu kebanggaan untuk mereka.
Habuan memang lumayan
Mahu atau tidak, kita amat mengharapkan sesuatu yang terbaik daripada Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, Chen Tang Jie-Toh We Wei (beregu campuran.
Jadi, apakah yang kekurangan pada skuad negara kali ini?
Hakikatnya, kita memang memiliki barisan pemain terbaik yang makin matang. Inilah detiknya untuk mereka memburu kemasyhuran bagi mengubah imej badminton kita di mata dunia.
Nilai kejohanan ini mungkin tidak sama dengan Sukan Olimpik atau Kejohanan Dunia, tapi dari segi habuan wang, jelas ia amat lumayan kerana menawarkan jumlah keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.13 juta).
Juara perseorangan bakal meraih AS$200,000 (kira-kira RM910,000) manakala pemenang acara beregu mendapat RM210,000 (RM955,000). Angka ini boleh menjadikan pemain kita hampir menjadi jutawan jika berjaya mengerah keringat dan menang dalam tempoh seminggu saingan.
Perkembangan menarik pemain negara turut mencipta rasa ghairah pada wajah Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, yang percaya sekurang-kurangnya salah satu wakil kita - terutamanya acara beregu - mampu menggapai gelaran juara.

Pada pandangan penulis, prospek terbaik untuk naik ke podium dan menjulang mahkota kejuaraan masih tergantung pada kehebatan Aaron-Wooi Yik, dan Sze Fei-Nur Izzuddin.
Andai tiada masalah kecederaan dan tahap kecergasan berada pada tahap terbaik, dua wakil kita itu boleh mengganas dengan bergaya di Hangzhou.
Tambahan pula dua beregu teratas dalam ranking dunia - Liang Wei Keng-Wang Chang dari China dan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan tidak akan bersaing kerana gagal berada dalam kelompok lapan terbaik.
Hanya kedudukan ranking lapan pemain teratas dalam lima kategori saingan di Jelajah Dunia BWF di sepanjang musim ini diambil kira untuk beraksi dalam kejohanan penamat musim.
Meraih kejayaan bermakna
Pemenang pingat emas Sukan Olimpik mendapat tiket automatik walaupun gagal layak untuk menghuni kelompok lapan teratas.
Sze Fei-Izzudin tanpa diduga beraksi garang pada penghujung babak jelajah dengan mempamerkan persembahan cukup mantap dan sempurna. Ini yang amat ditagih peminat setia negara agar rentak sama itu dapat diulangi oleh pasangan pilihan keempat itu.
Keringat dan komitmen tinggi merema membuahkan hasil apabila menjuarai Terbuka Arctic, Terbuka Jepun dan Terbuka China dalam kejohanan Super 1,000, 500 dan 750.
Tidak keterlaluan jika disebut bahawa mereka sedang membayangi pencapaian bekas juara dunia, Aaron-Wook Yik yang hanya menjuarai Terbuka Korea dan muncul naib juara Seluruh England yang berstatus Super 1000.
Sze Fei-Izzuddin dilihat sebagai prospek terbaik negara pada saat ini untuk merampas gelaran.
Apa pun, pengalaman Aaron-Wook Yik tidak boleh dipandang remeh. Tambahan kita pernah menyaksikan beberapa kali pasangan ranking kelima dunia itu bijak memilih detik terbaik di kejohanan besar untuk meraih kejayaan bermakna.
Pada hari terbaik, pasangan negara ini mampu layak ke separuh akhir tanpa masalah.

Gelagat dua pasangan beregu campuran kita juga menarik. Mereka menunjukkan sifat yakin dan kejayaan dapat dituai namun ia banyak bergantung kepada kekuatan minda masing-masing.
Pasangan suami-isteri Soon Huat-Shevon Lai dan Tang Jie-We Wei pula sudah membuktikan sesuatu, khususnya tidak gementar lagi dengan status pemain bintang dunia, khasnya dari China dan Korea Selatan.
Keyakinan sudah makin bertambah, cuma perlu mengikis tabiat mudah melakukan kesilapan kecil pada detik penting permainan.
Bagaimana pula dengan pasangan Pearly-Thinaah? Mereka juga mencipta kejayaan terpuji apabila tahun ini menjulang trofi Terbuka Hong Kong dan muncul naib juara Terbuka Korea dan Terbuka Arctic.
Jika tiada masalah kecederaan, pasangan berpengalaman ini - yang mara ke separuh akhir Sukan Olimpik di Paris pada Ogos lalu - berada dalam situasi terbaik untuk mara ke peringkat sama di Hangzhou.
Penulis tidak meletakkan Zii Jia dalam senarai calon juara kerana ada sekurang-kurangnya tiga atau empat pemain lain - termasuk Anders Antonsen (Denmark), Shi Yu Qi (China), Kodai Naraoka (Jepun) atau Kunlavut Vitidsarn (Thailand) - yang tampak lebih konsisten tahun ini untuk memburu gelaran perseorangan lelaki.

Ketiadaan bekas pemain nombor satu dunia, Axelsen, yang sudah menarik diri gara-gara kecederaan kaki kiri juga harus melegakan. Zii Jia boleh mengaut peluang daripada perkembangan itu.
Bintang dari Denmark adalah lawan paling liat untuk wira negara kita dan dia sedar peluang mara lebih jauh dalam kejohanan makin terbuka.
Bintang berusia 26 tahun berasal dari Alor Setar itu juga boleh memberi hadiah perpisahan bermakna kepada jurulatihnya, Wong Tat Meng, dengan mencipta detik gemilang di bumi China.
Ini kerana pengendali berusia 57 tahun itu membuat keputusan tidak akan menyambung tugasannya selepas kontraknya tamat pada 31 Disember ini.
Difahamkan, kali terakhir Malaysia merasai nikmat kejuaraan ialah pada 2017 apabila Lee Chong Wei memahat kemenangan kali keempat dalam Final Siri Super.
Mungkin Zii Jia juga boleh menyahut cabaran mengulangi gemilang dilakar idolanya itu.
Kita ucapkan selamat berjuang kepada 11 wakil negara kali ini untuk menamatkan badi tujuh tahun tanpa gelaran. Ayuh, Malaysia boleh!
V ASHOK ialah sebagai bekas Pengarang Sukan Berita Harian selain pernah menjadi pengarang meja berita luar negara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
