Bekas peguam negara Tommy Thomas mengakui Najib Razak mempunyai alasan yang wajar apabila mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil terhadap bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.
Bercakap dalam episod pertama audio siar terbitan Malaysiakini dan KiniTV, Straight Talk, Thomas berkata isu yang dibangkitkan itu adalah soal sumber.
"Itu sesuatu yang adil," katanya sambil menambah, apa yang boleh katakan ialah ketika itu pihak pendakwaan berdepan dengan sumber yang terkekang.
Menurut Thomas, dia meletakkan keutamaan untuk mengejar "jerung" dalam kes rasuah seperti Najib, Jho Low, firma Goldman Sachs dan Ahmad Zahid Hamidi.
"Kemudian rancangan saya adalah untuk turun ke peringkat kedua (iaitu kalangan) pengarah syarikat dan lain-lain.
"Tetapi pastinya ia bermula di bahagian atas. Kamu tidak boleh mengejar ikan kecil apabila jerung berada di atas," tambah Thomas.
Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan hos Straight Talk, Dennis Ignatius, mengenai aduan Najib di mahkamah mengenai langkah pihak pendakwa raya tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Zati dan suaminya, Tawfiq Ayman.
Najib semasa perbicaraan kesnya mendakwa, keluarga Zeti telah menerima dana daripada dalang skandal 1MDB yang menggemparkan masyarakat antarabangsa, Jho Low.

Semasa memberi keterangan dalam perbicaraan membabitkan bekas perdana menteri berkenaan, Zeti memberitahu keluarganya tidak pernah menerima wang daripada 1MDB.
Tawfiq juga sebelum ini menolak dakwaan terlibat dengan rasuah bersama bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Tim Leissner.
Menjawab soalan, Thomas tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan ke atas Zeti dan Tawfiq.
"Sudah tentu tidak. Kami mendapat banyak maklumat mengenai suaminya di Singapura dan kami mendapat semula wang itu".
Kata Thomass, wang berkenaan diletakkan atas nama Tawfiq dan dia tidak membantah apabila ia dibawa balik ke Malaysia.
"Dia mengakui bahawa itu adalah wang Jho Low," tambah Thomas.

Kenyataan peguam itu dipercayai merujuk kepada penghantaran pulang AS$15.4 juta dana berkaitan 1MDB daripada akaun syarikat milik Tawfiq dan anak-anaknya.
Tawfiq didakwa menerima dana berkaitan 1MDB melalui Iron Rhapsody Ltd - sebuah syarikat yang didakwa dimiliki secara berkepentingan oleh Tawfiq dan salah seorang anak lelakinya.
Iron Rhapsody didakwa memindahkan dana berkaitan 1MDB kepada Cutting Edge Industries - yang juga dimiliki oleh Tawfiq dan anak lelakinya, Abdul Aziz dan Aliff Ayman.
Sebelum ini dilaporkan Jabatan Hal Ehwal Komersial Polis Singapura pada 2015 dan 2016 telah berkongsi maklumat mengenai urus niaga yang melibatkan Iron Rhapsody Ltd dengan Bank Negara.
Zeti hanya bersara sebagai gabenor bank pusat pada April 2016.
Thomas berkata keputusan mengenai siapa yang perlu didakwa bergantung kepada dapatan polis dan Surhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Jabatan Peguam Negara, kata Thomas, hanya membuat ketetapan kemudian berdasarkan apa yang dikemukakan kepada mereka.
