Jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam tampil menafikan pelbagai dakwaan ditujukan kepadanya oleh keluarga kadet Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi yang meninggal dunia pada 13 Nov lalu.
Menjawab dakwaan paling menimbulkan kemarahan awam, bahawa dia mengarahkan kadet itu berlakon menjadi kuda dan menunggangnya, koperal itu berkata hanya mengacah.
“Sebelum itu saya kata, kalau nak berkuda kita buat cara berkuda. Itu saja.
“Saya hampiri dia hanya buat gaya seakan (berkuda), tak cecah pun pinggul saya atas badan dia,” katanya dalam wawancara telefon dengan Malaysiakini kelmarin.
Malaysiakini tidak menamakan jurulatih itu kerana belum dituduh di mahkamah.
Malaysiakini pada 27 November lalu bapa mangsa Muhammad Zaidi Abdul Rahman membuat laporan polis, mendakwa anaknya dipijak dada, dipaksa menjadi kuda dan ditunggang oleh jurulatih.
Zaidi juga mendakwa Amir Rusyaidi dipaksa melompat seperti kanggaru.
Dakwanya insiden pada 10 Nov itu dirakam oleh jurulatih terbabit selain Muhammad Amir, 25, dibiarkan pengsan di tengah padang dan bawah panas matahari lebih kurang 30 minit.
Jurulatih yang berdepan siasatan polis dan tentera itu bagaimanapun menafikan dakwaan-dakwaan tersebut dan tampil menyatakan versinya berkaitan apa yang berlaku.
Di bawah petikan daripada wawancara itu:
Malaysiakini: Koperal didakwa membiarkan Mahammad Amir pengsan di tengah padang dan bawah panas matahari selama lebih kurang 30 minit?
Jurulatih: OK, kenapa ambil masa 15 ke 20 minit sebelum bawa arwah Amir ke hospital? Saya pun tak tahu siapa yang sampaikan kepada keluarga arwah mengatakan saya membiarkan arwah selama 30 minit lebih.
Apabila arwah jatuh rebah saja saya minta skuadnya ramai-ramai angkat dan letak dia di tempat teduh. Sebab kalau saya nak angkat seorang memang tak terdaya. Ya, bawa ke tempat teduh.
Tapi dalam kenyataan (keluarga) kata saya membiarkan arwah di tengah panas selama 30 minit, (kalau betul) ‘masaklah’ jantung dia.
Rawatan awal memang tak ada, cuma kita lunjurkan kakinya, dudukkan dia, buka kasut dan stoking, basahkan dan urutkan kaki dia, ratakan air di muka dan kepala.
Kita seru nama dia, tengok dalam 15 minit (tak respon) saya tak boleh tunggu sebab pitam bukan macam ini, patutnya (kalau pitam) sekejap saja. Saya arahkan skuad angkat dia masuk ke dalam kereta dan terus ke Hospital Shah Alam.
Itu masa yang sebenarnya (selepas rebah), kalau pergi rujuk di wad kecemasan zon merah, jururawat terima pukul 5.15 petang. Kalau kata 30 minit sampai sejam saya membiarkan arwah tak mungkin hospital akan terima arwah pada jam 5.15 petang.
Malaysiakini: Ada dakwaan mempersoalkan kenapa tidak bawa arwah ke Pusat Kesihatan UiTM yang lebih dekat berbanding ke Hospital Shah Alam?
Jurulatih: Di UiTM ini ada klinik kecil kita panggil pusat kesihatan, jadi pada hari Sabtu dan Ahad, jarang-jarang dibuka, fasiliti dan pakar yang ada di situ tak cukup.
Hospital pun berada di depan UiTM saja, tak jauh, bukan berada di Klang atau di Kuala Lumpur. Jadi untuk tindakan pantas disebabkan fasiliti pusat kesihatan tak cukup, saya ambil tindakan untuk ambil arwah masuk ke dalam kereta saya dan terus bawa ke hospital.
Hospital itu fasilitinya penuh dan kepakaran pun penuh, itu saja. Kalaulah saya bawa ke Pusat Kesihatan UiTM, lepas itu akan delay lagi, tunggu pakar buat pemeriksaan, fasiliti tak cukup, sebab itu saya bawa ke hospital supaya dapat rawatan segera. Itu saja.
Malaysiakini: Ada dakwaan mengatakan koperal yang luluskan kemasukan arwah ke Palapes sedangkan seramai 10 orang termasuk arwah tidak lepas BMI (indeks jisim tubuh)?
Jurulatih: Soal BMI ini diluar bidang kuasa saya sebenarnya, saya hanya di hujung-hujung saja yang membantu. Soal BMI ini saya dapat kesan setelah dia melepasi pemeriksaan kesihatan di Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) Pangkalan Udara Jugra. Lepas saja di situ setelah (semakan) ahli-ahli jawatankuasa dilantik di kalangan pegawai kadet intermidete dan senior.
Mereka ketika itu sedang mengemas kini dokumentasi, saya dapati bahawa salah seorang daripada kadet memaklumkan BMI salah seorang kat sini ada cecah 28 lebihan berat.
Jadi saya nak tahu siapa, dia tunjukkan pada arwah, kalau ikutkan saya memang nak buang saja. Tapi saya rujuk perkara ini kepada sarjan saya, saya koperal saja, saya tiada kuasa untuk buat keputusan sendiri dan atas sarjan ada pegawai lagi. Jadinya bila saya bertanyakan perkara tersebut kepada sarjan saya, dia kata tak boleh nak buang sebab takut jadi macam kes dulu.
Saya tanya apa kes dulu sebab saya tak masuk lagi ketika itu, saya nak tahu juga kes dulu. Dia kata sekiranya kita buang dia (arwah) nanti akan jadi satu pertikaian.
Sebab apa jadi pertikaian? Dia kata doktor yang mengesahkan dia fit, dah sahkan tahap kesihatan dia optimun dan sebagainya tiba-tiba kita nak keluarkan daripada baris.
Takut nanti ada kenalan dalam perkhidmatan ke apa ke, menggunakan kabellah senang cerita untuk kacau urusan pengambilan kadet. Dan apa kuasa saya kalau sarjan dah kata macam itu? Saya baru lagi di situ, sarjan saya lama dah empat tahun di situ, saya rasakan dia lebih berpengalaman.
Malaysiakini: Jadi ada tuduhan ada seorang saksi kata arwah tak boleh habiskan larian 2.4 kilometer (km) atau masanya lambat, lepas itu dia (suruh) tekan tubi dan tak larat dan duduk dalam keadaan merangkak dan dikatakan koperal naik atas badan dia macam tunggang kuda?
Jurulatih: Ketika tiada sesiapa di keliling kami kecuali saya, arwah dan seorang kadet perempuan. Arwah ini kalau diikutkan pada tapisan awal lagi sebelum dia masuk dalam Palapes lagi, semasa jurulatih jasmani menguji dia memang semua benda dia tak boleh buat, lompat jangkau tak boleh, bangkit tubi tak boleh buat, tekan tubi dia tak boleh, berlari tak boleh, semua benda dia tak boleh buat.
Ketika itu saya pun tak ambil tahu fasal semua kadet ini lagi, yang saya dapat tahu pun selepas dokumentasi itu berlangsung. Apabila saya ajukan kepada pegawai atasan, mereka jawab macam itu apa kuasa saya untuk menolak? saya menerima sajalah untuk kemasukan dia.
Saya tak pernah gagalkan dia masa sesi latihan, untuk kadet Palapes ini saya tak pernah gagalkan mereka untuk sesi berlari. Bukan tugas saya untuk gagalkan dia sebab saya bukan jurulatih jasmani. Masa dia berlari 14 minit kalau ikutkan masa itu lulus tak ada masalah, sebab saya orang terakhir sekali berlari dengan dia.
Masa kami sampai di garisan penamat semua skuad sambut dia macam beri sokongan moral dan dia tak teruskan untuk aktiviti seterusnya selepas itu. Dia diberikan rehat dan buat regangan selepas berlari.
Kemudian dia masuk baris saya tengok keadaan dia normal, saya cuma pantau masa itu yang conduct mereka bahagian intermediate. Lepas itu mereka ada aktiviti tekan tubi, arwah duduk hujung sebelah kanan saya tengok daripada kiri.
Saya tengok semua orang boleh buat, sampai pada arwah ini dia seolah-olah menghempaskan lutut pada permukaan tar (padang kawad), dia tak boleh nak buat tekan tubi. Jadi saya pun panggil dia ke hadapan, berada di hadapan saya dan dipantau oleh kadet wanita itu, saya pun kata tak apalah yang lain boleh teruskan aktiviti yang lain sebab mereka boleh buat.
Tapi arwah tak boleh buat apa-apa, kadet wanita itu suruh buat (tekan tubi) 10 kali tak boleh, lima tak buat, tiga tak buat, satu kali tak boleh buat, semua atas arahan kadet wanita itu sendiri. Bukan atas arahan saya, tapi saya baca kenyataan keluarga (dalam artikel) semua atas arahan saya.
Selepas itu saya tengok dalam keadaan arwah cukup menyeksakan untuk buat tekan tubi, daripada dia menyeksakan diri sendiri menghempaskan lutut ke tar saya cakap pada dia, daripada teruskan tekan tubi tukar kepada side role (berguling).
Sebelum itu saya kata kalau nak berkuda kita buat cara berkuda, itu saja. Saya hampiri dia hanya buat gaya seakan (berkuda) tak cecah pun pinggul saya atas badan dia.
Saya memang tak duduk, itu pun tak sampai sesaat dan berita mana yang menyampaikan saya menunggang dia sejauh mana tak tahulah apa benda cerita, itu bukan ujian kecergasan lagi, itu mendera, itu membuli. Apabila tulis artikel macam itu orang menganggap saya mendera dan membuli.
Saya tak buat perkara macam itu dan bila saya beredar ke belakang saya suruh arwah tukar buat side role ke kanan dan ke kiri satu setengah meter saja dan kadet wanita itu juga suruh arwah bangunkan melompat. Dia yang suruh arwah melompat kemudian lari untuk pantau lompat jangkau, tinggalkan arwah dengan saya saja.
Selepas itu arwah kata pada saya dia nak cuba sekali lagi untuk tekan tubi, saya kalau ikut dia dah berjaya side role saya nak lepaskan dia ke aktiviti lain. Tapi kalau arwah sendiri minta (tekan tubi) saya fikir dia nak tunjuk keyakinan diri dia. Tapi tak sempat buat tiba-tiba dia melompat anak, kejang (kaki). Perkataan kanggaru itu saya yang bagi sebab kedudukan tangan di dada, ketika lompat sebelum rebah.
Malaysiakini: Keluarga arwah juga dakwa koperal ada buat rakaman ketika arwah lompat kanggaru, ada simpan lagi video rakaman?
Jurulatih: Saya buat rakaman bukan tujuan untuk jadikan bahan jenaka, tapi nak tunjuk kepada pegawai saya sebab saya tahu pegawai akan tanya, itu bukti video yang ada.
Saya tak tahu siasatan polis dan ATM akan berlangsung saya tak tahu masa itu. Selepas kebumikan arwah dan bertegur dengan keluarganya kat rumah saya ambil tindakan untuk padam video tersebut sebab saya takut video tersebar luas dan jadi bahan jenaka orang ramai.
Sebab itu saya buat pengakuan pada polis kata saya ada merakam, jadi boleh tak (polis) tolong keluarkan video itu balik sebagai bukti saya merakam. Jadi polis ambil telefon saya untuk dihantar ke Jabatan Forensik (PDRM) untuk keluarkan balik video tersebut.
Malaysiakini: Dalam laporan bapa arwah kata pihak UiTM tidak dimaklumkan mengenai insiden yang menimpa Muhammad Amir bahkan diminta untuk hadir ke kelas atau akan dianggap tidak hadir.
Jurulatih: Cerita itu tak macam itu sebenarnya, hari Ahad saya bawa arwah ke hospital keluarga arwah datang ke hospital lebih kurang jam 10 malam. Setelah berhubung dengan keluarga arwah tentang kenapa arwah masuk hospital dan keluarga arwah mengarahkan saya untuk pulang ke rumah, tapi saya tak terus balik ke rumah, saya pergi ke unit saya dulu (di UiTM), untuk dokumentasinya.
Dalam masa yang sama, keluarga arwah juga hubungi saya untuk tolong dapatkan surat untuk mengurangkan bayaran hospital untuk pelajar, satu lagi minta bantu hubungi penasihat akademik atau hal ehwal pelajar untuk maklumkan arwah berada di hospital.
Keesokan harinya saya memaklumkan perkara tersebut kepada hal ehwal pelajar dulu, sebab saya tak ada nombor telefon penasihat akademik arwah. Saya maklumkan supaya arwah dikecualikan daripada kuliah kerana dia berada di hospital dalam rawatan. Itu cerita yang sebenar.
Saya jalankan tanggungjawab sebagai jurulatih, saya jalankan tanggungjawab sebagai penyelia, saya tahu apa tanggungjawab saya. Saya ada pegawai dan pegawai saya tak ambil tahu tentang saya, tentang pegawai kadet dia, jadi saya jalankan tanggungjawab saya sebagai jurulatih.
Malaysiakini: Bagaimana dengan dakwaan mengenai kejadian dikatakan mempunyai unsur ragging?
Jurulatih: Dia macam ni, budak-budak ni akan sebut dengan istilah ragging, tetapi itu adalah istilah merujuk kepada tindakan pembetulan. Contohnya kalau kita dah bercakap banyak kali dan dia tak ikut, kita ulang kali nasihat dia tak ikut, kita akan bagi tindakan pembetulan.
Tindakan pembetulan itu pula kita tak boleh buat dalam keadaan kekerasan atau menyeksa atau sebagainya yang mendatangkan kecederaan atau kematian, kita kena berpada-pada.
Contohnya kita arahkan buat full role, side role, itu pun dalam skop pengajaran pengenalan ujian fizikal. Jadinya perkara tersebut saya rasa itu bukan ragging, kalau nak kata ragging jangan melihat kepada saya seorang.
Sebab apabila saya masuk dalam UiTM, ada lagi yang lebih menyiksakan, penyelia saya sendiri suruh seret dada dari hujung padang kawad, patah balik apa semua kalau nak kata ragging. Kenapa bila jadi insiden ini semua aspek ini sasar terhadap saya seorang saja?
Sedangkan semua orang buat perkara sama, janji jangan menggunakan sebarang bentuk kekerasan, itu sahaja. Saya diarah masuk ke UiTM ini hanya dibenarkan menyuruh dan mengarahkan sahaja.
Malaysiakini: Berbalik pada hari kejadian, sebelum ini keluarga arwah atau saksi kata tak ada latihan berjadual pada hari itu, mereka persoal sebab apa tak berjadual sebab tak ada ambulan pada hari itu, sepatutnya kena ada ambulan pada setiap latihan? Kenapa tak ada ambulan pada hari kejadian?
Jurulatih: Pada awal pengambilan sekalipun unit adakan ujian fizikal larian 2.4km, benda yang sama seperti hari kejadian. Setahu saya dan jurulatih lain yang ada, kami ada menyuarakan tentang arahan tadbir, tentang pengambilan.
Sebab setiap apa yang berlaku tentang latihan ke, pengambilan ke, dalam tentera atau polis ke saya rasa perlu ada arahan tadbir, saya rasa tempat kerja swasta untuk permintaan tertentu (order).
Arahan tadbir kena ada, tetapi apa yang berlaku pengambilan siri yang junior baru ini tiada arahan tadbir, saya pun tak tahu perkara ini boleh tiba-tiba ada pengambilan ada itu ini dan sebagainya. Masa pengambilan ujian larian 2.4km dan sebagainya tiada ambulans sebab arahan tadbir tak ada.
Kalau kata setiap latihan sekalipun apa sepanjang saya masuk dalam UiTM ini baru sekali nampak ambulan itu pun masa latihan jati diri, masa ujian fizikal ke apa ke tak ada ambulans.
Latihan jati diri dan latihan menembak, dua sesi itu saja saya nampak ada ambulan. Sepatutnya setiap kali latihan melibatkan kecergasan dan melibatkan menembak dan sebagainya wajib ada ambulans.
Hari kejadian tak ada, apa yang berlaku sepanjang saya berada di Palapes UiTM ini memang tak ada ambulans kecuali ketika latihan jadi diri dan menembak.
Waktu latihan menembak pakai ambulans ATM, waktu latihan jati diri guna ambulans Pusat Kesihatan UiTM, itu saja yang saya nampak.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin, timbalannya Adly Zahari serta ATM berkaitan isu ketiadaan ambulans semasa latihan serta bagaimana pelatih melepasi saringan walaupun mempunyai BMI berlebihan.
