Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Israel, Netanyahu dihantui jangkauan bidang kuasa universal

ULASAN | Sesiapa yang mempelajari ilmu undang- undang antarabangsa sudah pasti terdedah dengan isu bidang kuasa.

Secara mudah, bidang kuasa ialah suatu kuasa yang praktikal (practical authority) yang diberikan kepada sesuatu badan perundangan untuk membolehkan ia berurusan dengan isu perundangan secara tersirat.

Dalam undang-undang antarabangsa, konsep bidang kuasa itu sendiri ada kaitan rapat dengan isu kedaulatan sesebuah negara.

Undang-undang antarabangsa beroperasi berdasarkan premis berikut: semua negara di dunia ini - tanpa mengira saiznya - wajar diperlakukan secara adil dan saksama, dan kewajaran itu bertolak daripada prinsip menghormati kedaulatan negara tersebut.

Ada beberapa istilah dan konsep bidang kuasa yang dibincangkan dalam undang-undang antarabangsa seperti bidang kuasa wilayah (territorial jurisdiction), dan bidang kuasa kebangsaan (nationality jurisdiction).

Bidang kuasa kebangsaan itu pula terbahagi pula kepada dua cabang iaitu active nationality dan passive nationality.

Satu lagi bidang kuasa yang begitu popular ialah bidang kuasa universal (universal jurisdiction).

Artikel ini akan hanya memberi memberi fokus kepada isu bidang kuasa universal dan kaitannya dengan isu pengeluaran waran tangkap oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Israel memang arif

Ramai peguam undang-undang antarabangsa dan para penganalisis isu politik antarabangsa berpendapat, Israel - khususnya Netanyahu - kini dihantui dengan isu waran tangkap tersebut dan isu bidang kuasa universal.

Prinsip bidang kuasa universal ini agak unik kerana ia membenarkan mana-mana negara di dunia ini menahan individu yang memasuki wilayah mereka sekiranya individu terbabit disyaki terlibat dalam jenayah antarabangsa yang serius, seperti jenayah perang atau jenayah ke atas kemanusiaan.

Bidang kuasa ini agak unik kerana ia membenarkan suspek tersebut ditangkap dan ditahan meskipun dia bukanlah rakyat bagi negara yang dilawatinya, atau dia mungkin tidak pun melakukan jenayah ke atas mana-mana warga di negara yang dia lawati.

Sebab itu misalnya mantan diktator Chile, Augusto Pinochet Ugarte - yang terlibat dengan jenayah antarabangsa - berjaya ditahan di UK melalui waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah di Sepanyol.

Jenayah di Chile, waran tangkap di Sepanyol, dan ditahan di UK. Itulah hebatnya bidang kuasa universal!

Dan Israel serta Netanyahu arif sangat tentang hal tersebut sebab Tel Aviv sendiri pernah menggunakan prinsip bidang kuasa universal tersebut apabila mereka - melalui Mossad - menangkap salah seorang penjenayah di dalam rejim Hitler iaitu Adolf Eichmann.

Eichmann ditahan dari tempat persembunyiannya di Argentina dan dibawa ke Israel untuk didakwa, dibicarakan dan akhirnya dijatuhkan hukuman oleh mahkamah di negara itu.

Dan bagi Israel, tindakan mereka adalah sah kerana ia hanya melakukan hal tersebut atas premis bahawa ia sekadar melaksanakan bidang kuasa universal.

Itu semua dilakukan meskipun tanpa kewujudan waran tangkap dari ICC dan ketika Eichmann dikatakan melakukan jenayah perang itu, negara Israel belum pun wujud.

Ya, benar, menjadi isu yang dibincangkan hangat di persada antarabangsa bahawa tangkapan ke atas Eichmann oleh para ejen Mossad dikatakan tidak sah kerana Eichmann dikatakan diculik oleh Israel.

Ketimbang kes Eichmann, sudah tentu kes Netanyahu lebih jelas. Telah ada satu waran tangkap yang sah dikeluarkan ke atas Netanyahu oleh ICC sebelum ini.

Ya, mungkin saja negara-negara yang kecil dan miskin di dunia ini tidak ada keberanian untuk menangkap dan menahan Netanyahu, tetapi telah ada kenyataan rasmi daripada beberapa negara Eropah - hatta Perancis yang menjadi salah satu anggota tetap Majlis Keselamatan PBB - yang sentiasa bersedia untuk menangkap dan menahan Netanyahu.

Jelas, prinsip bidang kuasa universal itu kini menjadi igauan buruk Israel dan Netanyahu.

Jika suatu waktu dulu Israel melaksanakan prinsip bidang kuasa universal ke atas pemimpin negara lain, kini negara lain pula yang mungkin akan menangkap dan menahan pemimpin Israel.

Plot ini semakin menarik!


MOHAMED HANIPA MAIDIN ialah mantan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dan mempunyai ijazah sarjana dalam undang-undang antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS