Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid Hamidi kena ‘jackpot’ lagi, kata PSM
Diterbitkan:  Dec 12, 2024 1:38 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

Tiada apa yang mengejutkan apabila pertimbangan politik mengubah seorang "reformis menjadi konformis," kata timbalan pengerusi PSM, S Arutchelvan.  

Dia mengeluarkan kenyataan pedas itu sebagai reaksi terhadap keputusan pendakwa raya menarik balik rayuan terhadap pembebasan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah Sistem Visa Asing (VLN) pagi ini.  

“Tiada apa yang luar biasa, ini sudah jadi kebiasaan (pentadbiran Madani). 

“Ada sesiapa terkejut? Rakyat tahu apa yang berlaku dan mengapa Zahid dibebaskan,” katanya kepada Malaysiakini.  

Menyifatkan keputusan itu sebagai "jackpot” (tuah) kedua bagi presiden Umno, Arutchelvan menjangka Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada peguam negara.  

“Saya pasti PMX (Anwar) akan berkata ini adalah keputusan peguam negara dan peguam negara bebas.  

“Ini adalah Anwar yang sama, yang dahulu mendakwa bahawa peguam negara tidak bebas. Saya melihat sedikit bukti menunjukkan keadaan telah berubah,” tambahnya.  

Arutchelvan berkata perkara itu sepatutnya dibiarkan untuk diputuskan oleh mahkamah tanpa pendakwa raya menarik balik rayuan.  

“Ini akan memberi lebih legitimasi dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem serta usaha memerangi rasuah,” katanya lagi.  

Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi membebaskan Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah berkaitan VLN.  

Dia didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta (RM43.6 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd semasa menjadi menteri dalam negeri untuk melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali pusat sehenti di China dan sistem VLN, serta mengekalkan kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem bersepadu.  

Pada 4 September 2023, Zahid diberi pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) daripada 47 pertuduhan rasuah apabila pendakwa raya memutuskan untuk menghentikan perbicaraan berkaitan Yayasan Akalbudi.  

Nasib serupa dengan kes Sabah?

Sementara itu, menyeberang Laut China Selatan, Arutchelvan berkata dia menjangka siasatan terhadap dakwaan skandal Sabah akan berakhir dengan nasib serupa.  

“SPRM akan berkata video itu tiada unsur rasuah dan menyalahkan pemberi maklumat kerana tidak menyerahkan bukti.  

“PMX akan berkata SPRM bebas. Pemimpin Pakatan Harapan akan menyebut perkara yang sama. Kes ditutup, dan ini menjadi rutin biasa untuk kerajaan Madani,” tambahnya.  

Isnin lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata 15 individu disoal siasat berhubung dakwaan skandal rasuah Sabah, termasuk pemberi maklumat tersebut.  

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS