Pasukan peguam Najib Razak memfailkan keterangan saksi tambahan setebal 130 muka surat bagi pihak bekas perdana menteri itu.
Najib petang tadi membacakan kenyataan saksi setebal 528 muka surat untuk menangkis pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.27 bilion terhadapnya.
Peguamnya, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin memberitahu hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bahawa kenyataan saksi tambahan itu difailkan kira-kira 2.45 petang hari ini.
Ini bermakna Najib akan membacakan kenyataan saksi tambahan semasa prosiding perbicaraan esok, dan bersedia meneruskannya dalam perbicaraan pada Januari tahun depan.
Pada mulanya peguam Najib memfailkan kenyataan saksi setebal 525 muka surat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang mula dibacakannya pada 2 Dis dan berakhir petang ini.
Bagaimanapun, disebabkan pindaan dan pemfailan yang dikemas kini, kenyataan saksi itu meningkat kepada 528 muka surat.
Pada 30 Okt lepas, mahkamah memerintahkan Najib membela diri atas empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana 1MDB.
Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Hakim memutuskan Najib perlu menjawab pertuduhan itu berikutan 50 keterangan saksi semasa peringkat prosiding pendakwaan yang berlangsung enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun atas kes salah guna kuasa berasingan membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International, iaitu bekas anak syarikat 1MDB.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar.
