Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Ketua Pembangkang mempersoalkan apakah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bertujuan mencari kesalahan Dr Mahathir Mohamad.

Hamzah Zainudin (PN-Larut) berkata, adalah tidak adil sekiranya Dr Mahathir seorang dipersalahkan sedangkan keputusan itu turut melibatkan jemaah menteri pada 2018.

"Saya hairan sama sekali apakah (laporan) RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) ini tujuan dan matlamat adalah untuk menghukum seorang atau pun daripada syor yang dikeluarkan.

"Tetapi yang benar-benar ditujukan dari mula sekali seolah-olah satu saja yang dipersalahkan iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini menunjukkan apakah sebenarnya kita lakukan ini semata-mata untuk hukum atau mencari sesuatu kesalahan tentang Dr Mahathir sendiri?

Justeru Hamzah berkata seluruh anggota kabinet ketika itu perlu mengambil tanggungjawab bersama.

"Seluruh anggota Kabinet juga harus diambil (tangungjawab) kerana seperti (ahli Parlimen) Kota Bharu (Takiyuddin Hassan) sebut tadi, collective responsibility (tanggungjawab bersama).

"Kalau pun hak hukum perdana menteri, hukum juga timbalan perdana menteri (ketika itu), saya sama telah bersetuju. Kalau itu juga termasuk presiden saya (Muhyiddin Yassin), hukum dia sekali (kerana bertindak sebagai menteri ketika itu)," katanya.

Hamzah berkata demikian ketika membahaskan laporan RCI berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Seramai 10 wakil rakyat membahaskan laporan RCI itu selepas dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Pada 5 Dis lalu, RCI berkenaan mengesyorkan siasatan jenayah dimulakan terhadap Mahathir.

Dalam laporan - yang dinyahklasifikasikan di parlimen - RCI tersebut mendakwa Mahathir menipu kabinet pada tahun 2018 untuk menarik semula semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerahkan pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut RCI, Mahathir telah membuat keputusan sepihak untuk menghentikan semakan tersebut tanpa persetujuan kabinet, dan hanya memberi taklimat kepada mereka tentang sebab dia berbuat demikian.

RCI berkenaan berpendapat bahawa jika kabinet diberikan dokumen dan pendapat bertulis daripada perunding antarabangsa, mereka mungkin akan mempunyai pandangan yang berbeza mengenai usaha semakan itu.

Tindakan ini, menurut RCI, menyebabkan kerajaan mengalami kerugian yang tidak sepatutnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS