Pengusaha feri dan bot penumpang di pulau-pulau utama di Malaysia akan menerima subsidi diesel, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Loke berkata subsidi ditetapkan pada kadar maksimum 50 sen seliter dengan harga siling ditetapkan pada RM2.50 seliter.
Katanya, sebanyak 40 pengusaha akan mendapat manfaat daripada dasar ini yang akan bermula pada 1 Januari 2025.
Pengusaha yang akan diberi subsidi ini adalah yang beroperasi di pulau-pulau berikut:
Labuan
Langkawi
Pangkor
Ketam
Tioman
Redang
Pulau Pinang
“Jadi saya nak beri peringatan kepada semua pengusaha supaya memastikan kalau mereka nak menikmati subsidi ini, yang sudah tentu akan meringankan kos operasi, mereka perlu memastikan kadar tambang dikekalkan,” katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.
Loke juga berkata pengendali feri yang tidak mengekalkan kadar tambang berdepan risiko subsidi ditarik balik. Pengusaha yang menaikkan tambang tanpa kelulusan Kementerian Pengangkutan pula berdepan risiko lesen dibatalkan, tambahnya.
Syarat permohonan
Mengulas lanjut, Loke berkata pengusaha yang ingin mendapatkan subsidi perlu memenuhi beberapa syarat.
Pertama, mereka mesti berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia dan mendapatkan bekalan diesel daripada syarikat bunker atau skid tank yang disahkan kerajaan.
Mereka juga perlu mengemukakan permohonan kuota pembelian diesel kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel (DSAC) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Syarat terakhir adalah tuntutan subsidi mesti dikemukakan setiap bulan bersama dokumen sokongan berkaitan kepada Kementerian Kewangan, dengan salinan dihantar ke Stesen Kastam terdekat untuk pengesahan, kata Loke.
“Kementerian Pengangkutan ingin menegaskan meskipun subsidi diesel ini bertujuan untuk meringankan kos operasi pengusaha feri, namun menjadi tanggungjawab pengusaha untuk memastikan mutu perkhidmatan aspek keselamatan feri dipertingkat dalam usaha memastikan perkhidmatan yang lebih efisien dan berdaya saing kepada pengguna,” katanya lagi.
Pada 15 Disember lalu, Loke memaklumkan kabinet telah bersetuju secara prinsip untuk memberikan subsidi kepada pengusaha feri.
Ini selepastambang perkhidmatan feri pergi-balik antara Kuala Kedah, Kuala Perlis, dan Langkawi dilaporkan akan meningkat sebanyak RM3 sehingga RM10.50 bermula tahun depan.
