EKSKLUSIF | Pemberi maklumat dalam skandal rasuah Sabah telah mendedahkan tangkap layar mesej WhatsApp, bersama butiran masa dan lokasi transaksi yang didakwa berkaitan dengan pembayaran setengah juta ringgit kepada Adun Sindumin, Yusof Yacob.
Yusof juga merupakan pengerusi Qazanah Sabah Bhd milik kerajaan negeri.
Pemberi maklumat mendakwa RM500,000 tersebut merupakan sebahagian daripada RM1 juta yang dijanjikan untuk lesen penerokaan mineral yang didakwa “dihadiahkan” kepada Adun berkenaan sebagai balasan atas sokongannya terhadap Ketua Menteri Hajiji Noor semasa krisis politik negeri pada tahun 2023.
Tangkap layar WhatsApp daripada perbualan mereka menunjukkan pemberi maklumat mendesak agar jumlah tersebut dikembalikan kerana dia sedang menghadapi tekanan daripada pelabur.
Salah satu respons berbunyi: “Saya akan uruskan, Datuk (merujuk kepada pemberi maklumat). Jangan risau. Saya nak lari ke mana? Ini urusan perniagaan. Tiada kaitan dengan politik.”
Sebelum ini, Malaysiakini menyiarkan sebuah video Yusof berbincang bersama pemberi maklumat tentang jumlah wang tersebut dan turut mengaitkan dengan ketua menteri.
Lantik proksi
Rakaman itu turut memaparkan seorang individu lain, dikenali sebagai Fong, yang didakwa sebagai proksi kepada Adun tersebut.
Pemberi maklumat mendakwa Yusof juga menerima 15 peratus saham “secara percuma” dalam syarikat yang mengemukakan permohonan lesen penerokaan mineral sebagai balasan atas bantuannya.
Yusof telah melantik “Fong” sebagai pemegang saham rasmi bagi pegangan 15 peratus dalam syarikat itu, yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Pemberi maklumat turut mendakwa beberapa Adun lain juga telah disogok untuk mendapatkan lesen penerokaan mineral.
Dia juga mendakwa dana tersebut pendahuluan daripada pelabur, disediakan khusus untuk memudahkan sogokan bagi mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral.
Serah bukti kepada SPRM
Pada Selasa, peguam pemberi maklumat, Muhammad Shafee Abdullah mengumumkan anak guamnya memutuskan untuk mendedahkan mesej WhatsApp dan “bukti” sokongan lain untuk menolak dakwaan bahawa dana tersebut adalah sumbangan politik.
Peguam kanan itu berkata anak guamnya merancang untuk membuat laporan kepada SPRM dan menyerahkan bukti tambahan yang dimilikinya.
Berikut butiran transaksi yang didakwa melibatkan Yusof dan tangkapan layar WhatsApp tersebut.







Malaysiakini menyunting lima angka terakhir nombor telefon bimbit Adun tersebut, tetapi boleh mengesahkan nombor itu miliknya.
Tunai RM500,000
Menurut pemberi maklumat, wang tunai RM200,000 diserahkan pada 6 Mac 2023, sekitar jam 2 petang di Hilton Hotel, Kota Kinabalu.
Pada 28 April 2023, sekitar jam 12 tengah hari di Kopi Ping Cafe, Damai Plaza, Kota Kinabalu, seorang wakil bernama “Lau” didakwa menyerahkan wang tunai RM200,000 lagi kepada “Fong”.
Baki wang tunai RM100,000 diserahkan pada 12 Julai 2023, sekitar jam 3 petang di Hilton Hotel, Kota Kinabalu.
Malaysiakini telah menghubungi Yusof untuk mendapatkan maklum balas atas dakwaan ini.
