Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
ULASAN | Sebat kes khalwat: Fahami dengan matang, hikmah - Ikim
Diterbitkan:  Dec 31, 2024 9:00 PM
Dikemaskini: 1:00 PM

ULASAN | Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) mengambil maklum mengenai isu pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara yang dijalankan di Terengganu baru-baru ini.

Dalam perkara ini, Ikim ingin memperkukuhkan pendirian dan memberikan penjelasan berdasarkan panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan agensi berkaitan.

Hukuman sebatan dalam kes khalwat bukan hudud tapi takzir

Ikim menegaskan bahawa hukuman sebatan ke atas kes khalwat yang dijalankan bukanlah sebahagian daripada hukum hudud seperti yang sering disalah tafsir oleh sesetengah pihak.

Hukuman tersebut tergolong dalam kategori takzir iaitu hukuman yang ditentukan oleh pihak berkuasa berdasarkan ijtihad dan budi bicara selaras dengan maqasid syariah.

Pelaksanaan ikut SOP jelas dan teratur

Semua pihak perlu menghormati bidang kuasa negeri dalam melaksanakan hukuman syariah.

SOP pelaksanaan yang disediakan oleh JKSM menyediakan garis panduan berikut untuk memastikan pelaksanaan hukuman dijalankan dengan tertib:

i. Pemilihan tempat:

Tempat pelaksanaan ditentukan oleh Mahkamah Syariah seperti mahkamah, institusi yang diwartakan atau lokasi lain yang dianggap sesuai oleh pihak berkuasa negeri.

ii. Pemeriksaan kesihatan:

Semua pesalah mesti menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan fizikal yang mampu menerima hukuman.

iii. Kehadiran khalayak yang terkawal:

Kehadiran khalayak adalah terhad kepada individu yang dibenarkan oleh mahkamah termasuk pegawai kehakiman, pegawai perubatan, dan pihak berkepentingan lain. Hadirin tidak boleh melebihi 70 orang untuk menjaga sensitiviti dan maruah pesalah.

iv. Prosedur pelaksanaan:

Hukuman dilaksanakan oleh pegawai yang terlatih dan mematuhi garis panduan seperti memastikan sebatan dilakukan tanpa mencederakan pesalah dengan menggunakan rotan yang sesuai dan tidak menyebabkan kecederaan.

Cadangan penambahbaikan

Ikim mencadangkan langkah-langkah tambahan untuk memperkukuhkan pelaksanaan hukuman sebatan syariah:

  • i. Melaksanakan program pemulihan yang holistik. Dengan pendekatan ini pesalah dapat menyertai program bimbingan rohani, kaunseling intensif, dan latihan kemahiran sebagai sebahagian daripada hukuman.

  • ii. Memberi tumpuan bagi meningkatkan kefahaman kepada masyarakat awam agar memahami matlamat sebenar hukuman syariah melalui kempen kesedaran dan forum terbuka.

  • iii. Memperkukuhkan kerjasama antara JKSM, Jabatan Penjara dan agensi-agensi yang berkaitan untuk menyeragamkan pelaksanaan dan garis panduan.

    Langkah susulan

Sebagai langkah susulan untuk menambah baik SOP pelaksanaan hukuman sebatan Ikim akan:

  • i. Mengadakan persidangan meja bulat tertutup dengan menjemput pakar-pakar perundangan sivil dan syariah serta pihak-pihak berkepentingan bagi menambahbaik pelaksanaan hukuman syariah serta menyeragamkan garis panduan pelaksanaan hukuman syariah.

  • ii. Memberikan penekanan terhadap pendidikan dan penerangan kepada masyarakat bagi mengelakkan salah faham terhadap konsep dan pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia.

Ikim menyeru semua pihak untuk memahami isu ini dengan matang dan berhikmah.

Tujuan perlaksanaan hukuman ini adalah untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada pesalah dan masyarakat.

Sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mencetuskan salah faham atau ketegangan perlu dielakkan demi menjaga keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.


MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS