Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pukul OKU: Usah jadi hakim swasta - Pemuda Amanah Kelantan
Diterbitkan:  Jan 18, 2025 3:49 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Pemuda Amanah Kelantan berpendapat, kejadian seorang lelaki kelainan upaya yang dipukul di Chukai semalam memberi kesan berbahaya jika tidak diambil tindakan sewajarnya.

Ketua Pemuda Amanah Kelantan Hazmi Hassan berkata apa yang berlaku itu sangat dikesali dan tidak boleh diterima, sebaliknya perlu dikecam dengan tegas.

"Pemuda Amanah Kelantan ingin menegaskan bahawa tindakan mendahului undang-undang dengan menghakimi individu tanpa proses yang sewajarnya adalah budaya yang berbahaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sepatutnya, tambah Hazmi, seseorang perlu mendahulukan sikap matang dan rahmah semasa berdepan dengan situasi sebegitu, antara lain agar proses keadilan boleh dilaksanakan.

Katanya setiap individu berhak untuk mendapatkan pembelaan dan keadilan tanpa sebarang prejudis.

"Kita perlu menghentikan budaya menghukum dan menjadi hakim swasta.

"Peringatan sama juga perlu ditegaskan kepada mana-mana pihak yang menghukum iman seseorang dengan sewenang-wenangnya hanya kerana perbezaan parti politik," katanya.

Keadilan mesti ditegakkan

Hari ini tular kejadian seorang lelaki - didakwa orang kurang upaya - dibelasah beberapa lelaki lain dalam kejadian di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Terengganu.

Polis Daerah Kemaman sudah menahan tiga lelaki yang dapat membantu siasatan insiden tersebut.

Pada masa sama polis juga menasihatkan keluarga lelaki OKU terbabit agar lebih peka dan memantau dengan baik agar kejadian sama tidak berulang.

Kata Hazmi semua pihak wajar kembali kepada prinsip keadilan dan menghormati undang-undang dengan mengelak mengambil tindakan sendiri.

Sementara itu Majlis Ulama Umno pula berkata, dalam Islam seseorang pesalah masih dijamin kehormatannya seperti yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Khairuddin Aman Razali

Timbalan pengerusinya, Khairuddin Aman Razali, berkata apa pun kesalahan yang mungkin sudah dilakukan lelaki di Chukai itu, ia tetap tidak menghalalkan sesiapa memukul beramai-ramai serta ditendang.

Katanya perbuatan tersebut merupakan kezaliman dan kemungkaran.

"Amat malang jika kejadian ini berlaku di depan khalayak ramai tanpa ada sesiapa yang menegah kerana ia menunjukkan sifat amar makkruf nahi mungkar semakin suram kerana barangkali bimbang pada ledakan kemarahan dan emosi pihak yang terbabit dengan kerosakan," katanya.

Justeru bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berharap pihak berkuasa bertindak terhadap mana-mana individu yang bertindak sendirian secara samseng yang membelakangkan undang-undang.

"Keadilan mesti ditegakkan kepada semua menerusi proses keadilan yang betul," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS