Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, berdepan pengalaman unik dalam karier politiknya apabila dia diminta menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kes gangguan paranormal di sebuah rumah sewa.
Kata Lim, pada awalnya di didatangi seorang lelaki berbangsa Cina yang ingin menamatkan perjanjian rumah sewanya kerana mendakwa tidak selesa berada di situ gara-gara diganggu hantu.
Menceritakan keadaan itu kepada Malaysiakini, Lim berkata, pengadu terbabit mendakwa dia berasa tidak dapat terus menetap di premis tersebut apabila sering diganggu bunyi-bunyian yang tidak diketahui puncanya.
Selain itu, kata Lim, pengadu juga mendakwa lampu rumahnya sering hidup dan mati sendiri.
Gelisah dengan keadaan itu, menurut ahli politik berkenaan, pengadu memutuskan untuk tidak lagi mendiami kediaman tersebut tetapi hasratnya untuk berpindah tidak semudah yang disangka.
“Pemilik sebuah kopitiam itu kata dia nak tamatkan perjanjian sewa dengan tuan rumah, tetapi pihak tuan rumah ada permintaan yang lain pula.
“Jadi, dia minta saya tolong berhubung dengan tuan rumah untuk selesaikan masalah yang dihadapinya dan mendapatkan semula wang deposit,” katanya.
Walaupun kedengaran aneh, Lim berkata, hal sebegitu sebenarnya bukanlah terlalu asing untuknya sebagai ahli parlimen. Bahkan, tambahnya, boleh dikatakan setiap tahun akan ada saja aduan seumpama itu yang diterimanya.
Biasanya minta bertenang
Cuma, menurut Lim, ada perkara yang perlu dianggap serius dan menuntutnya bertindak dan pada keadaan lain, cukup sekadar dia menjadi pendengar kepada masalah yang rakyat di kawasan yang diwakilinya.
“Sebelum ini ada sesorang datang berjumpa saya dan beritahu dia adalah kelahiran semula maharaja China, dia nak menyelamatkan dunia dan dia maklumkan bagaimana ia boleh dilakukan.
"Saya berjumpa dengan dia dua bulan lalu.
“Saya dengar sajalah apa yang dia cerita dan saya katakan, saya ambil maklum.
"Tapi saya tetap cuba bantu sebab mereka bukan nak cari pasal tetapi mereka tidak ada tempat nak dituju dan bagi mereka masalah itu adalah isu yang sungguh besar.
“Siang malam mereka fikirkannya dan tidak tahu hendak ke mana untuk berkongsi pandangan. Sebab itu mereka jumpa saya, takkan saya tak layan mereka?” katanya.
Lim berkata, dia juga kerap menerima aduan daripada pengadu yang dipercayai mengalami masalah kesihatan.
Biasanya, kata Lim, ia melibatkan individu yang mengadu mereka terdengar suara tertentu dan mereka tak tahu nak suarakan kepada siapa.
“Jadi, mereka jumpa saya dan dalam isu ini saya hanya boleh dengar saja sambil minta mereka bertenang. Tapi pada masa sama kalau perlu saya minta dia jumpa doktorlah.
“Walaupun isu ini nampak remeh tapi ia tetap menjadi tanggungjawab saya selaku wakil rakyat,” katanya.
Sementara itu, menyentuh soal masalah kesihatan mental rakyat hari ini, Lim menggesa semua pihak lebih prihatin dalam isu tersebut.

“Masalah kesihatan mental adalah isu yang sangat serius ketika ini. Saya pun yakin Kementerian kesihatan Malaysia sedang memberi tumpuan mereka dalam isu ini.
“Jadi, saya harap semua pihak khususnya orang awam memberi peluang kepada mangsa ada masalah mental ini, beri mereka ruang yang lebih besar.
“Mereka ini bukan sengaja nak cari pasal, tapi mereka memang mengalami masalah mental seperti mana yang berlaku kepada mangsa orang kurang upaya (OKU) yang dipukul di Terengganu baru-baru ini,” katanya yang turut kesal dengan apa yang berlaku.
Lim merujuk kepada insiden tular di media sosial menyaksikan seorang penunggang motosikal yang dipercayai seorang OKU diserang sekumpulan lelaki selepas merempuh sebuah gerai di Pasar Tani Padang Astaka Chukai.
Susulan itu, polis dilaporkan menahan lima lelaki berusia antara 18 dan 60 tahun bagi membantu siasatan.
