“Jangan jadi bodoh…”
Begitu pesan keras Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Saleh kepada MCA Perak susulan bantahan mereka terhadap peluasan sekatan jualan arak di Ipoh.
“Kalau kamu tak faham, sila set (tentukan) masa dan tempat.
“Kami datang beri faham depan-depan.
“Mudah, jangan jadi bodoh. Itu saja,” kata pemimpin lantang Umno itu.
MCA Perak semalam mengecam pemimpin kerajaan negeri, khususnya daripada DAP, susulan peluasan sekatan oleh Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI).
Ketua penerangannya Chung Kok Heung mempersoalkan penjelasan pemimpin DAP dan PKR bahawa ia masih dalam pertimbangan, sedangkan perkara itu, katanya, disahkan oleh Datuk Bandar Rumaizi Baharin.

Beberapa hari lalu, Rumaizi berkata, MBI meluluskan dasar untuk membuat kajian terhadap tuntutan penduduk dari kawasan majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.
Menurutnya, sekitar tahun 2020 dan 2021, larangan itu dilaksanakan di kawasan gugusan Manjoi susulan bantahan besar-besaran penduduk setempat.
Dia mendedahkan terdapat tuntutan sama di Ulu Chepor yang penduduknya 100 peratus penduduk Melayu-Islam dan mereka secara prinsipnya bersetuju.
Bagaimanapun, katanya, tuntutan masyarakat daripada Tambun, Rapat Setia dan Sungai Rokam masih dikaji.
Dalam kenyataan berbahasa Mandarin semalam, Chung meminta orang ramai “waspada” dengan perkembangan itu dan mendesak supaya hak orang bukan Islam dilindungi.
Sementara itu, menulis di media sosial hari ini, Akmal menegaskan jual beli arak masih dibenarkan tetapi bukan di tempat majoriti Muslim.
“Dan rasanya tiada pun ditulis menghalang orang bukan Islam nak minum dan beli, tetapi jangan jual beli di tempat majoritinya Muslim,” katanya.
