Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS bentak Tan kerana 'tak ada empati' pada Gaza
Diterbitkan:  Jan 21, 2025 6:05 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Pemuda PAS hari ini mengecam Vincent Tan ekoran gesaan taikun terkenal itu agar menamatkan kempen boikot ke atas salah satu cabang perniagaannya kerana krisis Gaza sudah berakhir.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden, sebaliknya menekankan agar kempen boikot syarikat terkait dengan Israel itu diteruskan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Katanya langkah itu akan menjadi salah satu usaha untuk membantu Palestin daripada terus ditekan oleh rejim Zionis.

"Pemuda PAS Malaysia memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh pengasas dan penasihat Berjaya Corp Bhd (Berjaya), Tan Sri Vincent Tan, yang menyatakan bahawa tiada keperluan untuk memboikot Starbuck kerana Gaza sudah aman.

"Kenyataan tersebut menunjukkan bahawa tiada langsung sifat empati terhadap umat Islam di Gaza yang dibantai oleh Israel selama hampir 500 hari sehingga menyebabkan lebih 46,899 warga Palestin di Semenanjung Gaza telah terkorban selain lebih 110,725 cedera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 17 Jan lalu Tan berkata, tidak ada sebab lagi untuk mana-mana pihak meneruskan tindakan boikot mereka kepada jenama Starbucks kerana gencatan senjata sudah dimeterai di Gaza.

"Sekarang keadaan sepatutnya baguslah... Gaza sudah mahu aman, apa nak boikot lagi?" katanya kepada media.

Tan juga memberitahu Berjaya memiliki strategi untuk memastikan Starbucks kekal berdaya saing dan terbuka dengan persaingan dengan jenama lain.

Starbucks adalah satu daripada banyak jenama yang disasarkan oleh penggerak kempen boikot ekoran krisis yang melanda Palestin, khususnya di Gaza, kesan daripada gerakan ketenteraan Israel.

Kata Afnan Hamimi walaupun gencatan senjata sudah dimeterai, tiada sebarang jaminan ia akan terlaksana serta bertahan.

Hal itu kerana, katanya, sejarah menunjukkan Israel sentiasa berhelah untuk mencari sebab mencabuli perjanjian yang ditandatangani.

"Tambahan pula, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan bahawa mereka berhak untuk melancarkan serangan terhadap Gaza selepas berakhirnya gencatan senjata.

"Oleh itu, kita perlu memahami bahawa solidariti boikot yang dilakukan ini bukan bersifat one-off, sebaliknya merupakan usaha berterusan untuk melumpuhkan mana-mana syarikat pro-Israel yang memberi keuntungan ekonomi kepada negara itu untuk meneruskan jenayahnya," kata Ahli Parlimen Alor Setar itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS