Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin mengecam usaha untuk "menyelesaikan" skandal rasuah di Sabah yang akan mengheret Umno dan parti lain ke dalam kontroversi itu.
Ini selepas pemberi maklumat di sebalik skandal itu mendakwa dia ditawarkan penyelesaian untuk mengembalikan semula lesen carigali mineral syarikatnya, sebagai pertukaran untuk membuat kenyataan umum yang mengisytiharkan bahawa dana itu adalah "derma politik" dan dia telah membuat "sumbangan" serupa kepada Adun Umno, Star dan PBS.
Bung mengecam percubaan itu sebagai usaha untuk memfitnah Adun Umno.
"Tindakan ini bukan sahaja tidak bermoral, malah cukup memalukan kerana pihak yang terlibat sanggup melakukan apa sahaja, termasuk mengarang skrip semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan mereka.
"Sehubungan itu, saya menuntut penjelasan daripada individu yang disebut dalam artikel tersebut, iaitu (menantu Tuan Yang Terutama Sabah Musa Aman) Arifin Mohd Arif, berkenaan dakwaan beliau terlibat dalam penyediaan skrip yang mengaitkan Adun Umno dalam isu ini,” katanya merujuk laporan Malaysiakini yang disiarkan awal hari ini.
Dia turut menggesa SPRM membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
Sementara itu, dalam satu kenyataan yang sarat dengan sindiran, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking menyindir cubaan untuk menyifatkan rasuah berkenaan sebagai derma politik.
“Mungkin juga itulah kenapa pihak siasatan pun sedang mencari di Dewan Bahasa dan Pustaka apa definasi 'rasuah' dan apa 'sumbangan',” katanya dalam catatan Facebook.
Dia juga menggesa mereka yang "sensitif" supaya tidak marah dengan kenyataannya.
“Ini hanya soalan berikutan kenyataan dan keadaan tiada penangkapan selepas siasatan. Hanya sedang siasat tanpa reman," katanya.
Sebelum ini, pemberi maklumat telah mengeluarkan beberapa siri video yang membabitkan beberapa Adun Sabah, termasuk Arifin, dalam perbincangan mengenai rasuah sebagai pertukaran untuk sokongan mereka dalam permohonan syarikat terlibat untuk mendapatkan lesen carigali mineral. Lesen tersebut telah dibatalkan.
Laporan itu hari ini memetik pemberi maklumat yang mendakwa Arifin telah mendekatinya dengan tawaran untuk menutup mulutnya dan menafikan komunikasi itu sebagai salah faham.
Malaysiakini telah menghubungi Hajiji, Arifin, dan Adun lain yang dikaitkan untuk mengulas.
Hajiji sebelum ini menafikan sebarang salah laku di pihak pentadbirannya, dan berkata dakwaan rasuah itu adalah cubaan untuk mencemarkan nama baiknya dan kerajaan negeri menjelang pilihan raya negeri
Pada 25 Jan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata suruhanjaya itu telah menyelesaikan siasatan terhadap skandal berkenaan dan telah menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.