Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tegas tangani fitnah, hasutan tak sekat kebebasan bersuara'

Pemerhati politik berpandangan gesaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya kerajaan lebih tegas menangani penyebaran fitnah dan hasutan tidak menghalang kebebasan rakyat untuk bersuara.

Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan, berpendapat gesaan itu tepat pada masanya kerana undang-undang ketika ini tidak cukup untuk membendung penyebaran fitnah dan hasutan di media sosial.

Bahkan, katanya, peruntukan undang-undang Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang ada ketika ini tidak memadai untuk membendung perbuatan berkenaan.

"Hakikatnya kerajaan melakukan sebaik-baiknya untuk mengawal apa yang berleluasa ini tidaklah sampai ke peringkat yang dikatakan menyekat kebebasan bersuara.

"Dalam perkara ini perlu ada timbal balik, tarik menarik, supaya hak rakyat untuk kebebasan bersuara tidak dikekang, tapi pada masa sama tidak menggugat kestabilan, keselamatan negara," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menitahkan agar kerajaan bertindak lebih tegas terhadap pihak yang menyebarkan fitnah dan hasutan dalam talian dan media sosial.

Dalam titah perasmian bagi sesi Parlimen tahun ini, Seri Paduka Baginda melahirkan kebimbangan terhadap kegiatan seumpama itu yang menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Suka saya ingatkan kepada masyarakat supaya sentiasa berhati-hati, agar tidak menjadi mangsa jenayah siber, seperti penipuan kewangan dalam talian atau scammer dan pencurian identiti.

“Saya juga merasa bimbang, dengan budaya fitnah dan hasutan di dalam talian dan media sosial yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan dan berpecah-belah," titah baginda.

Didik masyarakat

Bagi penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM), Awang Azman Awang Pawi pula berpandangan budaya fitnah dan hasutan bukan sahaja merosakkan keharmonian masyarakat tetapi juga mengancam kestabilan negara.

"Dalam era digital, maklumat dapat disebarkan dengan pantas tanpa semakan fakta yang teliti, menyebabkan berita palsu mudah tersebar dan dipercayai.

“Situasi ini menuntut pihak berkuasa untuk memperkukuhkan undang-undang sedia ada dan memastikan penguatkuasaannya dilaksanakan dengan berkesan," katanya.

Namun jelas Awang Azman, tindakan tegas sahaja tidak mencukupi tapi pendidikan dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya merupakan langkah pencegahan yang penting.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong dalam isu berkenaan.

Dia menyeru semua pihak menghormati rukun-rukun kenegaraan, asas agama serta budaya bagi mengelak fitnah dan hasutan di media sosial.

"Pada masa sama saya juga mengharap semua pihak tak kiralah sesiapa sekali pun menghormati rukun-rukun kenegaraan, asas-asas keagamaan, budaya.

"Kerana acap kali kontroversi yang di media sosial adalah reaksi balas terhadap golongan-golongan ekstremis, sekular dan pluralism yang mencabar rukun-rukun kenegaraan kita," katanya.

Setiausaha Pemuda Umno Hafiz Ariffin pula berpendapat tindakan tegas perlu diambil terhadap penyebaran maklumat palsu dan eksploitasi media sosial.

"Saya bersetuju bahawa tindakan tegas perlu diambil bagi membendung penyebaran maklumat palsu dan eksploitasi media sosial untuk tujuan yang boleh menggugat kestabilan negara.

"Dalam era digital ini, kita harus memastikan kebebasan bersuara tidak disalahgunakan untuk menyebarkan berita yang tidak berasas, apatah lagi yang bertujuan menimbulkan kebencian dan permusuhan," katanya ketika dihubungi.

Tambah Hafiz lagi, usaha memerangi jenayah siber mesti menunjukkan keberhasilan yang nyata, tidak cukup sekadar polisi dan amaran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS