Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Kenaikan tarif elektrik hanya untuk industri, 85% rakyat tak terkesan
1

PARLIMEN | Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan bahawa kenaikan tarif elektrik hanya akan melibatkan pengguna industri dan golongan 'maha kaya'.

Menurut Anwar, majoriti rakyat tidak akan terkesan dengan kenaikan berkenaan.

"Saya tegaskan semula kenaikan kadar elektrik untuk industri akan berlaku mengikut kaedah ICPT (Pelepasan Kos Tidak Berimbang) mulai Julai.

“(Sebanyak) 85 peratus rakyat tak akan terkesan dengan kenaikan ini,” katanya di Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab Perdana Menteri.

Menjawab pertanyaan ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), Anwar berkata kenaikan kadar elektrik perlu dilakukan untuk membiayai sektor lain seperti kesihatan dan pendidikan.

"Respon saya itu kepada industri kerana kenaikan tarif kepada industri, kepada golongan kaya. Maha kaya nak kita pertahan dia, apa dia?

“Kalau tak (kenakan) cukai kepada orang kaya, nak tambah peruntukan untuk sekolah, untuk hospital dari mana wangnya?” kata Anwar.

Terdahulu Wan Fayhsal meminta penjelasan mengenai kenaikan tarif berkenaan.

Semalam, Anwar mempertahankan kenaikan tarif elektrik selepas Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Ng Yih Pyng membangkitkan kebimbangan bahawa langkah itu boleh memberi kesan kepada kos perniagaan dan inflasi yang tinggi.

Bermula Julai, tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh)

Tarif asas merujuk kepada purata tarif yang ditanggung oleh semua pengguna elektrik. Tarif sebenar yang dikenakan berbeza berdasarkan jenis pengguna, dan trend penggunaan.

Bil akhir juga dipengaruhi oleh sebarang surcaj atau rebat di bawah skim Imbalance Cost Pass-through (ICPT), yang diselaraskan setiap enam bulan untuk mencerminkan harga bahan api sebenar.

TNB sebelum ini memberi jaminan tidak akan ada kenaikan tarif elektrik untuk 85 peratus pengguna domestik bagi separuh pertama tahun ini, kerana kerajaan menyerap kos melalui mekanisme seperti Dana Industri Elektrik.

Semakan tarif seterusnya dijadualkan pada Julai 2025.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan industri inap desa adalah antara yang akan dikecualikan daripada kenaikan tarif elektrik, bermula Julai ini.

“Saya akan minta pengecualian kenaikan (tarif elektrik) kerana mereka adalah merupakan sebahagian 85 peratus yang tidak akan terjejas dengan kenaikkan itu, cuma sektor industri yang terkesan dalam kenaikan tersebut,” katanya  yang juga adalah menteri kemajuan desa dan wilayah kepada pemberita di Parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS