Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan DAP Pulau Pinang membuka kelas agama Islam buat pemimpinnya terlebih dulu sebelum ingin mengajar PAS tentang nama dan budaya masyarakat Cina.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, ini kerana ada kalangan menteri daripada DAP yang masih gagal membezakan antara ungkapan hadis dan kalam ulama.
Ia dipercayai merujuk kenyataan Nga Kor Ming dalam satu sidang media yang mengatakan "Kita tahu Nabi Muhammad pernah berkata dalam sebuah hadis, 'rumahku syurgaku'.
Bagaimanapun ungkapan yang disebut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, itu bukan merupakan petikan hadis.

Menurut Ahmad Fadhli, dia ‘sangat terharu’ dengan keikhlasan DAP Pulau Pinang yang sanggup mencari dana bagi membuat kelas untuk mengajar pemimpin PAS tentang nama-nama dan kebudayaan orang Cina.
"Inilah bukti keikhlasan DAP Pulau Pinang yang sungguh hebat dan mengkagumkan, menitis air mata saya membaca keikhlasan ini.
"Walaupun saya merasakan cadangan ini bagus, tetapi saya ingin memberikan cadangan yang jauh lebih bagus iaitu kelas pendidikan Islam yang asas untuk pemimpin DAP yang bertaraf Menteri.
"Ini kerana ada menteri daripada DAP yang boleh menyebut perkataan yang bukan hadis tetapi disebut sebagai hadis," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
‘Penghinaan kepada nabi’
Semalam, DAP Pulau Pinang dilapor bersedia untuk mendapatkan dana dan bantuan daripada tokoh budaya bagi memberikan kursus kepada pemimpin serta ahli PAS mengenai nama keluarga masyarakat Cina.
Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang, Phee Boon Chee berkata, ia bagi menepis salah faham serta mitos berhubung budaya dan nama masyarakat Cina difahami parti Islam itu.
"DAP Pulau Pinang bersedia untuk mendapatkan dana dan bantuan daripada tokoh budaya bagi menyediakan kursus tersebut kerana sering kali mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat mengenai masyarakat bukan Melayu," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata tindakan pemimpin DAP yang sering tersalah petik ungkapan yang dianggapkan hadis merupakan satu penghinaan kepada Rasul.
Katanya, ia merupakan penghinaan jauh lebih besar berbanding kesilapan mengenal pasti nama-nama dan budaya masyarakat Cina.
"Ini sebenarnya satu penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW dan kesilapan ini jauh lebih besar berbanding kesilapan mengenal pasti nama-nama dan kebudayaan Cina. Kesilapan ini tidak pernah dimohon maaf sehingga ke hari ini seolah-olah ia tidak salah.
"Menteri sama juga mempermainkan istilah berkait ibadah orang Islam dengan menyebut bahawa dia akan mengadakan solat hajat, ia juga satu bentuk olok-olok yang tidak sepatutnya berlaku.
"Jadi, daripada DAP Pulau Pinang buat kelas untuk pemimpin PAS, lebih baik laburkan dana yang dikutip itu untuk mengajar pemimpin DAP bertaraf menteri," katanya lagi.
Secara sinis Ahmad Fadhli berkata, meskipun menteri berkenaan memberi peruntukan besar daripada kementeriannya, namun ia digunakan “untuk tujuan lain yang lebih penting” seperti menghiaskan pejabat dengan hiasan Krismas, Tahun Baru Cina dan hari raya Aidilfitri tidak lama lagi.