Khairy Jamaluddin hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dia mengemukakan saman fitnahnya untuk memaklumkan orang ramai terhadap pembohongan dan kepalsuan disebar mengenai vaksinasi Covid-19.
Bekas menteri kesihatan itu berkata demikian semasa perbicaraan penuh dalam tindakan sivilnya terhadap personaliti dakwah, Mohd Rasyiq Mohd Alwi, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq.
Plaintif menegaskan dia menjalankan tugas yang diamanahkan oleh kerajaan untuk mengawal wabak itu sepanjang tempoh menjadi menteri kesihatan dari Ogos 2021 hingga Nov 2022.
Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, penting untuk memberi jaminan kepada orang ramai bahawa vaksin itu berfungsi dan selamat, mujarab dan berkesan.
Katanya penting juga untuk pihakya menentang sebarang penyebaran berita palsu, tuduhan tidak tepat dan dakwaan tidak saintifik kepada masyarakat.
"Perbicaraan ini penting untuk memastikan perkara tersebut (dakwaan palsu mengenai vaksinasi Covid-19) diperbetulkan dan juga peluang untuk kami menghantar mesej bahawa semasa krisis kesihatan awam yang serius, adalah tidak bertanggungjawab untuk orang (tertentu) menyebarkan apa yang saya anggap sebagai pembohongan dan kepalsuan, terutamanya terhadap seseorang yang diberi kuasa oleh kerajaan untuk menguruskan krisis kesihatan awam.
"Dengan semangat itu, saya ingin menyatakan untuk pertimbangan mahkamah ini melalui kenyataan dan keterangan saksi saya, terutamanya semasa krisis, bahawa adalah penting bagi kami untuk bertindak secara bijaksana terhadap semua kepalsuan yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai (terhadap keberkesanan vaksinasi) dan usaha untuk memerangi wabak itu," katanya.
Perbicaraan dijalankan di hadapan hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Saman yang dikemukakan plaintif adalah berhubung dakwaan dia bertindak melulu atau tidak bertanggungjawab dalam perolehan vaksin Covid-19 untuk program inokulasi di Malaysia pada 2021.
Terdahulu hari ini, mahkamah mengarahkan perbicaraan penuh diteruskan walaupun defendan tidak hadir.
Raja Mohzanuddin memutuskan bahawa prosiding itu mesti diteruskan kerana Khairy dan mahkamah telah banyak bersabar dalam memberikan Mohd Rasyiq lanjutan masa untuk melantik peguam baru bagi mewakilinya.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, turut memberi keterangan hari ini dengan memaklumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji Malaysia atas usaha negara yang berjaya menangani wabak itu antara 2020 dan 2022.
“Pada masa itu, berdasarkan maklumat yang kami ada, kami membuat keputusan dan perspektif yang betul, dan kami menjadi contoh untuk negara lain," katanya.