Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kamarul panggil kawan tak puas hati buku Yeoh jadi saksi mahkamah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk mengecualikan keseluruhan keterangan saksi-saksi kepada pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff.

Sebaliknya, mahkamah memutuskan saksi-saksi Kamarul hanya boleh memberikan keterangan yang berkaitan dengan reaksi mereka terhadap buku memoir Hannah Yeoh“Becoming Hannah”.

Hakim Aliza Sulaiman membuat keputusan ini hari ini selepas pasukan peguam Yeoh semalam memohon agar keterangan saksi yang dikemukakan oleh pensyarah tersebut dianggap tidak boleh diterima dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh Yeoh.

Keputusan mahkamah ini menyebabkan bukti daripada saksi pembelaan hanya tertumpu kepada satu perenggan dalam penyataan pembelaan Kamarul Zaman.

Perenggan yang dimaksudkan membabitkan dakwaan pihak defendan bahawa Kamarul tidak memfitnah plaintif ketika membuat kenyataan mengenai ketidakpuasan hati rakan-rakannya terhadap buku tersebut.

Kamarul berhujah dia akan memanggil rakan-rakannya sebagai saksi untuk menyokong pembelaannya.

Yeoh saman Kamarul dakwa Kristianisasi

Yeoh telah memfailkan saman berhubung dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan gerakan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.

Ahli parlimen Segambut itu menegaskan bukunya hanyalah biografi peribadi mengenai perjalanan dirinya dalam dunia politik tanpa sebarang agenda untuk memurtadkan umat Islam.

Terdahulu hari ini, peguam Kamarul Zaman, Khairul Azam Abdul Aziz mengemukakan hujah lisan menentang permohonan Yeoh untuk mengecualikan keterangan saksi pembelaan.

Selepas keputusan mahkamah mengenai skop keterangan saksi, pihak pembelaan dijangka akan memanggil bekas senator, Ibrahim Abu Shah untuk memberi keterangan esok bagi menyokong pembelaan akademik tersebut.

Selain itu, seorang lagi saksi yang dijadualkan memberi keterangan bagi pihak Kamarul Zaman esok ialah bekas eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Harizal Hassan.

Saman fitnah

Saman yang difailkan oleh Hannah Yeoh pada Februari 2022 berkaitan dengan dua hantaran Facebook yang dimuat naik oleh Kamarul Zaman Yusoff pada 10 dan 17 Mei 2017.

Pada 17 Mei 2017, Kamarul turut membuat laporan polis terhadap Yeoh berhubung kandungan bukunya.

Dia menuduh Yeoh, yang ketika itu merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, terlibat dalam usaha dakwah Kristian, serta mendakwa Yeoh cuba mempromosikan agenda Kristian di Malaysia.

Hantaran Facebook pertama bertajuk “Hannah Yeoh contoh hipokrasi terbesar DAP” manakala hantaran kedua bertajuk “Laporan polis saya terhadap Hannah Yeoh.”

Yeoh mendakwa kedua-dua hantaran itu amat tidak bertanggungjawab, keji serta sengaja diterbitkan oleh Kamarul untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan terhadapnya.

Dia juga menuduh Kamarul menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang akademik UUM untuk mengeluarkan kenyataan bermotif politik terhadapnya.

Melalui writ saman terhadap Kamarul, Yeoh menuntut:

  • 1. Ganti rugi am, teruk, dan teladan atas fitnah yang didakwa dibuat terhadapnya.

  • 2. Penarikan balik kenyataan fitnah secara terbuka dan tanpa syarat.

  • 3. Permohonan maaf secara terbuka.

  • 4. Perintah injunksi mahkamah untuk menghalang Kamarul daripada menerbitkan sebarang kenyataan fitnah terhadapnya pada masa hadapan.

Justifikasi pembelaan Kamarul

Dalam penyata pembelaannya, Kamarul Zaman Yusoff membangkitkan pembelaan justifikasi.

Dalam undang-undang sivil Malaysia, justifikasi merupakan satu bentuk pembelaan mengenai kenyataan atau dakwaan yang dibuat dianggap benar.

Jika pembelaan ini berjaya dibuktikan di mahkamah, ia boleh menjadi pembelaan mutlak terhadap saman fitnah yang berkaitan.

Berkaitan dengan pembelaan justifikasi ini, pensyarah kanan itu mendakwa hantaran Facebooknya pada 10 Mei 2017 tidak merujuk secara langsung kepada Hannah Yeoh, tetapi kepada parti politiknya, DAP.

Kamarul mendakwa hantaran terbabit bertujuan untuk menonjolkan percanggahan dalam DAP, yang didakwanya memperjuangkan sekularisme dan pemisahan antara politik serta agama, namun pada masa yang sama terdapat pemimpin parti itu yang mencampuradukkan kedua-duanya.

Selain itu, dalam mengemukakan pembelaan justifikasi berhubung hantaran Facebooknya pada 17 Mei 2017, Kamarul mendakwa laporan polis yang dibuatnya itu tindak balas terhadap laporan polis yang difailkan oleh Yeoh terhadapnya berkaitan hantaran Facebook terdahulu.

Pensyarah itu juga mendakwa laporan polisnya terhadap Yeoh dibuat kerana bukunya mempunyai unsur dakwah Kristian, yang disyaki bertujuan menyebarkan ajaran Kristian kepada orang bukan Kristian, termasuk umat Islam.

Kamarul turut menafikan dua hantaran Facebooknya bersifat fitnah terhadap Yeoh, selain menolak dakwaan kenyataan tersebut bermotifkan politik.

Menurutnya, melalui laporan polis yang dibuat, dia menganggap Yeoh mungkin telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(a) Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988, serta Seksyen 298A(1) Kanun Keseksaan.

Seksyen 4(1)(a) berkaitan dengan kesalahan di bawah undang-undang negeri bagi individu yang cuba memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seseorang Muslim untuk menukar agama.

Seksyen 298A(1) pula berkaitan dengan kesalahan di bawah undang-undang persekutuan bagi individu yang menyebabkan perpecahan, ketidakharmonian, permusuhan, kebencian, atau niat jahat berkaitan agama, sama ada terhadap orang yang menganut agama yang sama atau berlainan.

Perlindungan bersyarat, komen adil

Kamarul turut menggunakan hujah perlindungan bersyarat (qualified privilege) dan komen adil (fair comment) sebagai pembelaan tambahan dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh Hannah Yeoh terhadapnya.

Perlindungan bersyarat satu bentuk pembelaan yang digunakan dalam situasi kenyataan dibuat oleh seseorang yang mempunyai kepentingan atau kewajipan undang-undang, sosial atau moral untuk mengeluarkannya.

Sementara itu, pembelaan komen adil digunakan apabila kenyataan yang dibuat bukan merupakan fakta mutlak, tetapi sekadar pandangan atau komen yang munasabah berhubung isu berkepentingan awam.

Sebelum ini, Kamarul juga pernah menyaman Yeoh atas dakwaan fitnah berhubung satu hantaran Facebooknya. Namun, dia kemudiannya menarik balik saman tersebut.

Dalam kes ini, Yeoh diwakili oleh peguam Sangeet Kaur Deo.

[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS