Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Kerajaan dituntut memberi penjelasan berhubung kos pajakan 28 unit helikopter menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun untuk pasukan keselamatan negara.

Ketua pembangkang, Hamzah Zainudin berkata jumlah kos itu dilihat sangat besar jika dibandingkan dengan kos pembelian 32 buah helikopter yang dibuat Poland.

“Semalam Yang di-Pertuan Agong bagitahu jangan ada perkara peribadi yang dibawa (ke Dewan Rakyat) dan (ahli parlimen) mesti mempertahankan hak rakyat.

“Ini yang saya nak pertahankan, pasal apa kerajaan membuat polisi menyewa helikopter yang begitu tinggi harganya.

“Ada bukti lagi baru-baru ini bahawa helikopter yang dibeli oleh sebuah negara Poland AS$1.83 (bilion).

“Ini menunjukkan mereka beli (helikopter) pada harga yang murah sangat, lebih kurang RM8 atau RM9 bilion," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Hamzah turut mempertikaikan perjanjian kerajaan dalam pajakan 28 helikopter bernilai RM16.6 bilion.

“Yang kita ini tandatangan kontrak untuk 28 buah helikopter berjumlah RM16.6 bilion.

“Sewa pula tu, bukan beli. Inilah yang kami perjuangkan," katanya.

Bekas menteri dalam negeri itu juga mendedahkan dia sebelum ini telah menolak polisi perjanjian yang ditawarkan oleh syarikat pajakan helikopter tersebut ketika masih dalam kerajaan.

“Syarikat yang dapat projek tersebut, masa saya jadi menteri dalam negeri mereka memohon membuat polisi yang sama, kontrak yang sama dan saya serahkan kepada pegawai kerajaan.

“Mereka buat kajian dan siasatan dan akhirnya bawa kepada saya dia kata ini tak bagus untuk gunakan polisi ini."

Bagi kontrak pengusaha dalam negeri

“Lebih baik untuk kita membeli dan beri kontrak MRO kepada pengusaha-pengusaha dalam negeri, memberi ruang dan peluang pekerjaan yang lebih baik dan semua itu adalah perkara-perkara yang telah pun diambil kira dan saya pun menolaknya," katanya.

Hamzah menyuarakan kebimbangannya bahawa generasi masa depan akan terpaksa menanggung beban hutang yang besar akibat keputusan kerajaan ini.

“Kita tidak mahu generasi akan datang yang terpaksa membayar beban hutang yang dibuat kerajaan ini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan telah menandatangani kontrak bernilai RM16 bilion untuk menyewa 28 buah helikopter bagi tempoh 15 tahun.

Menurut Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, pajakan helikopter itu dibuat untuk beberapa agensi keselamatan dan pertahanan negara.

Berikut pengagihan helikopter berdasarkan kontrak tersebut seperti yang dikatakan menteri:

  • 12 buah untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

  • 7 buah untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM)

  • 4 buah untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)

  • 2 buah untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)

  • 2 buah untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

  • 1 buah untuk Jabatan Perdana Menteri


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS