Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menolak tawaran untuk menyertai PAS, mengakui bahawa pada usia 73 tahun, dia tidak mempunyai ketahanan fizikal Dr Mahathir Mohamad, yang akan mencecah 100 tahun pada tahun ini.
“Saya menghargai tawaran untuk membenarkan saya menyertai PAS, tetapi tidak seperti Tun M (Mahathir), saya tidak cukup kuat dari segi fizikal untuk menjelajah negara. Malah berjalan sembilan lubang di atas padang golf pun susah,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata Zaid akan menjadi calon yang lebih sesuai untuk menyertai PAS berbanding bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Ini sebagai tindak balas kepada Zaid yang mencadangkan PAS adalah pilihan untuk Khairy jika mahu kembali berpolitik.
Dalam catatan media sosial pagi ini, bekas menteri itu berkata cadangannya telah menarik perhatian meluas dan bahawa dia telah menerima tempias kritikan.
“Seorang bernama Goh, memanggil saya ular. Yang lain minta saya masuk PAS,” katanya lagi.
Zaid mengakui kritikan masa lalunya terhadap dasar PAS tetapi menyatakan kepercayaan bahawa parti itu boleh berkembang jika ia menarik "pemimpin yang baik" seperti Khairy.
“Pemimpin yang menentukan masa depan parti, bukan ideologi.
"Saya percaya PAS, dengan beberapa perubahan, boleh mengubah dirinya menjadi sebuah parti yang inklusif, bertanggungjawab dengan dasar yang baik untuk negara," tambahnya.
Zaid juga percaya bahawa “kebencian sesetengah pihak” terhadap PAS yang sering berada di barisan hadapan dalam isu agama dan perkauman adalah tidak wajar.
“Jika Umno boleh berubah daripada parti akomodatif demokratik pada tahun 60-an kepada seperti hari ini, perkara sebaliknya boleh berlaku kepada PAS; bergerak dari kedudukan ekstrem ke arah jalan tengah.
“Semuanya bergantung kepada pemimpin,” tambahnya.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa saintis politik Universiti Sunway Wong Chin Huat menyifatkan PAS sebagai "pilihan terburuk" buat Khairy.
"Tidak jelas sama ada nasihatnya dimaksudkan sebagai madu atau racun," kata Wong, merujuk kepada cadangan Zaid.
Dia berhujah bahawa Khairy—yang terpinggir dari pentas politik sejak tewas dalam pilihan raya umum lalu dan dipecat daripada Umno—bukan sahaja berisiko kehilangan penyokong tengahnya (centrist) dan, sedikit sebanyak, pangkalan sokongan berbilang etnik tetapi juga akan berjuang untuk mendapatkan daya tarikan dalam PAS kerana kekurangan kredibiliti Islamisnya.
