Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Akan ada garis panduan baru bagi umat Islam di majlis bukan Islam’

PARLIMEN l Akan ada garis panduan baru bagi majlis yang melibatkan umat Islam dalam sambutan perayaan dan upacara kematian serta kunjungan yang diadakan di rumah ibadat bukan Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar.

“Pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan,” katanya.

Dalam jawapan bertulis kepada ahli Parlimen Pokok Sena, Ahmad Saad Yahaya, Mohd Na'im berkata garis panduan itu akan dimuktamadkan oleh muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada mesyuarat yang akan diadakan pada 25 hingga 27 Februari.

Ahmad Saad Yahaya

Ahmad meminta Jabatan Perdana Menteri untuk berkongsi butiran garis panduan mengenai perayaan agama bukan Islam bagi mengelakkan salah faham di  kalangan rakyat Malaysia.

Pada Jumaat (31 Januari) lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyelar pihak yang membangkitkan isu pelbagai kaum di negara ini meraikan perayaan kaum lain.

Dia mengajak seluruh rakyat untuk menumpukan kepada kemajuan dan kepentingan negara dan tidak memfokuskan perkara yang boleh memecahbelahkan perpaduan.

Anwar berkata Malaysia juga harus menjadi negara contoh perpaduan kaum yang baik.

Mengulas mengenai garis panduan ini, Mohd Na'im berkata penyertaan umat Islam dalam acara tidak boleh disertai dengan aktiviti yang boleh menyinggung sensitiviti masyarakat Islam, seperti:

  • Ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agamanya;

  • Persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam;

  • Pelaksanaan majlis dalam tempoh umat Islam melaksanakan ibadah seperti waktu azan, solat jemaah, khutbah dan solat Jumaat;

  • Lokasi majlis tidak berhampiran dengan masjid, surau, tanah perkuburan Islam dan tanah wakaf dan;

  • Premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.

Mohd Na'im berkata terdapat dua garis panduan sedia ada, satu dikeluarkan oleh jawatankuasa muzakarah pada tahun 2005 dan satu lagi dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun lalu.

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan

Dalam jawapan berasingan kepada ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, menteri itu berkata, bahawa garis panduan yang lebih baru mesti digunakan sekiranya terdapat percanggahan antara ketiga-tiga garis panduan tersebut.

Fawwaz bertanya mengenai pendekatan kerajaan terhadap perayaan agama bukan Islam yang diadakan di premis kerajaan dan melibatkan umat Islam.

Dia juga ingin tahu bagaimana perkara ini boleh dikendalikan dengan mengekalkan perpaduan agama.

Pada Disember lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menerima kritikan berhubung sesi nyanyian lagu Krismas yang diadakan di kementeriannya di Putrajaya.

Naib Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin, membangkitkan isu berkenaan video persembahan nyanyian Krismas yang menunjukkan beberapa umat Islam hadir di kalangan hadirin.

Katanya, bahawa sebagai menteri yang bertanggungjawab, Nga sepatutnya tahu bahawa adalah haram bagi umat Islam untuk menyertai perayaan agama lain yang bercanggah dengan akidah Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS