Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) menyelar Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, kerana didakwa cuba merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja.
Ia susulan dakwaan Ahli Parlimen Larut itu bahawa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menderhaka kepada bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, berhubung titah adendum yang membenarkan bekas perdana menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah.
"Fitnah sebegini bukan sahaja mencerminkan ketidakmatangan politik tetapi juga boleh merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja serta menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.
"Ketua Pembangkang seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, bukan menyebarkan dakwaan tidak berasas demi kepentingan politik semata-mata," kata Ketua BBC, Mohd Shahar Abdullah dalam sidang media di parlimen hari ini.
Menurut ahli parlimen Paya Besar itu, Anwar telah mengesahkan kewujudan titah Sultan Pahang dan menjelaskan titah tersebut tidak pernah diserahkan kepadanya.
"Perdana menteri juga menegaskan bahawa urusan berkaitan titah adendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC), bukan di bawah tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.
"Menyatakan fakta yang benar tidak boleh dianggap sebagai penderhakaan," tegasnya.

Jelasnya lagi, Anwar sentiasa menunjukkan penghormatan tinggi terhadap institusi diraja dan berpegang teguh kepada prinsip raja berperlembagaan sepanjang pentadbirannya.
Mohd Shahar juga menegaskan bahawa segala tindakan kerajaan adalah selari dengan peruntukan perlembagaan dan mengutamakan kepentingan negara.
"Sehubungan itu, kami menegaskan bahawa tuduhan ketua pembangkang adalah tidak benar dan hanya bertujuan menghasut rakyat.
"Rakyat perlu menolak politik fitnah dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara,"tambahnya.
Sidang Dewan Rakyat semalam kecoh seketika apabila Hamzah membangkitkan isu kewujudan titah adendum yang membenarkan bekas perdana menteri, Najib Razak menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.
Susulan kekecohan itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, melarang sebarang perbahasan berkaitan titah adendum berkenaan dalam sidang Parlimen kali ini.
Johari menetapkan larangan itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(2) selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang.
Selain itu, Johari turut melarang penggunaan perkataan "derhaka" dalam perbahasan mengenai isu titah berkenaan mengikut Peraturan Mesyuarat 36(7).
