Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Adakah larangan ceramah pada Zakir Naik masih berkuat kuasa?'

PARLIMEN | Seorang ahli Parlimen dari blok kerajaan hari ini membangkitkan persoalan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kemunculan semula pendakwah, Zakir Naik, yang sebelum ini dilarang untuk berceramah di negara ini.

RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkit perkara itu susulan laporan sebuah portal berita bahawa Zakir ada membuat ceramah di satu kawasan parlimen di Perlis, baru-baru ini.

“Saya ingin tanya kepada PDRM terutamanya kepada ketua polis negara, adakah larangan ini masih lagi berkuat kuasa?

“Kalau ia masih berkuat kuasa, baru-baru ini portal berita The Scoop melaporkan bahawa Zakir Naik telah membuat satu ucapan ataupun membuat dakwah terbuka dalam satu majlis di Kangar pada 2 Feb 2025.

“Sekiranya laporan ini benar, persoalan saya ialah, kenapa Zakir Naik tidak mematuhi larangan berucap dan berdakwah yang dikenakan ke atas beliau?” katanya pada sidang media di parlimen, hari ini.

Menurut Rayer, sekiranya larangan itu masih berkuat kuasa, adakah PDRM akan mengambil tindakan menyiasat dan mendakwa Zakir di mahkamah.

Jika PDRM tegas, katanya, tidak wajar ada sikap berpilih di antara rakyat tempatan atau warganegara asing yang datang ke negara ini dalam aspek pematuhan undang-undang.

PDRM pada Ogos 2019 mengeluarkan arahan kepada semua kontinjen negeri melarang Zakir daripada menyampaikan ceramah awam di seluruh negara.

Larangan tersebut dikuatkuasakan selepas Zakir dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan Cina di Malaysia dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Ogos 2019.

Terdahulu, tujuh negeri telah melarang ceramah oleh pendakwah tersebut, antaranya Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak.

Rayer berkata sebelum ini polis telah memulakan siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, selepas terdapat laporan polis yang dibuat ke atas mereka.

Katanya, ia termasuk siasatan yang dibuat terhadap seorang artis dan juga pelawak, Harith Iskandar dan juga pengguna laman Facebook, Cecilia Yap atas dakwaan telah menyentuh perkara berkaitan 3R (raja, agama dan kaum).

Katanya, semua pihak perlu menghormati sensitiviti agama, kaum dan memastikan dalam apa jua perkara yang dilakukan tidak melanggar perkara tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS