Bekas senator, Ibrahim Shah Abu Shah bersetuju bahawa buku memoir ditulis Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bertajuk Becoming Hannah tidak pernah ditegur oleh jabatan agama Islam atau majlis agama Islam sejak ia diterbitkan pada tahun 2014.
Ibrahim berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai saksi bagi pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff, yang disaman oleh Yeoh atas dakwaan fitnah.
Saman sivil itu adalah mengenai dakwaan bahawa memoir tersebut mengandungi agenda untuk mengkristiankan Malaysia.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Yeoh, Sangeet Kaur Deo, Ibrahim bersetuju bahawa tidak ada sebarang usaha oleh kerajaan untuk mengharamkan buku tersebut.
Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut bersetuju bahawa sejak buku tersebut diterbitkan, perdana menteri, menteri dalam negeri, ketua polis negara (IGP), dan menteri besar bagi kebanyakan negeri adalah beragama Islam.
Sangeet: Tiada satu pun pihak saya sebut termasuk majlis agama Islam dan jabatan Islam menyatakan buku ni mengancam Islam, selama 10 tahun ni tiada satu pun kata begitu?
Ibrahim: Ya.
Bekas senator itu juga mengakui dia tidak pernah membuat laporan polis sepanjang tempoh buku itu diterbitkan, namun mendakwa telah membangkitkan isu tersebut di Dewan Negara ketika itu.

Ibrahim memberi keterangan bagi menyokong hujah Kamarul bahawa dia tidak memfitnah Yeoh apabila membuat kenyataan mengenai rasa tidak puas hati rakan-rakannya terhadap buku tersebut.
Untuk rekod, Ahli Parlimen Segambut itu menegaskan buku tersebut hanyalah biografi peribadi mengenai pengalamannya dalam politik tanpa sebarang agenda untuk memurtadkan orang Islam kepada agama Kristian.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Kamarul, Khairul Azam Abdul Aziz, Ibrahim menjelaskan dia membangkitkan dakwaan mengenai agenda Kristianisasi di Dewan Negara kerana ia merupakan platform yang lebih besar berbanding sekadar membuat laporan polis.
"Kes ni merupakan gerakan cukup complicated yang mana pembacaan saya kes ni pembuat takkan mengaku, bahkan katakan ia guna gerakan cukup licik guna art of deception dan proxy and camouflage, subterfuge supaya kes ni tidak nampak perbuatannya.
"Bukan masalah mereka nak murtad masyarakat Islam Malaysia, InsyaAllah Melayu tak mudah murtad, tapi masalah besar cara mereka itu cukup jahat," kata Ibrahim.
Kes saman fitnah
Yeoh memfailkan saman terhadap Kamarul pada Februari 2022 berhubung dua hantaran Facebook bertarikh 10 dan 17 Mei 2017.
Secara kebetulan, pada 17 Mei 2017, Kamarul turut membuat laporan polis terhadap Yeoh berhubung buku itu
Dia menuduh Yeoh, yang ketika itu merupakan Speaker Selangor, melakukan dakyah Kristian dan mendakwa membawa agenda Kristian.

Hantaran Facebook pertama bertajuk "Hannah Yeoh contoh hipokrasi terbesar DAP", manakala hantaran kedua bertajuk "Laporan polis saya terhadap Hannah Yeoh".
Yeoh mendakwa kedua-dua hantaran Facebook itu sangat tidak bertanggungjawab, bersifat skandal, keji, dan sengaja diterbitkan oleh Kamarul untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan terhadapnya.
Dia menegaskan bahawa Kamarul telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai ahli akademik untuk mengeluarkan kenyataan bermotifkan politik terhadapnya.
Melalui writ saman terhadap Kamarul, Yeoh menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan.
Dia juga menuntut agar pensyarah itu menarik balik kenyataan fitnah secara terbuka dan tanpa syarat, serta memohon maaf.
Selain itu, Yeoh memohon mahkamah mengeluarkan injunksi untuk menghalang Kamarul daripada terus menerbitkan sebarang kenyataan fitnah terhadapnya.
Bagaimanapun, dalam pembelaannya, Kamarul menggunakan hujah pembelaan justifikasi.
Di bawah undang-undang sivil di Malaysia, justifikasi merupakan satu bentuk pembelaan mengenai kenyataan atau dakwaan yang dibuat dianggap benar.
Jika pembelaan ini berjaya dibuktikan di mahkamah, ia boleh menjadi pembelaan mutlak terhadap saman fitnah yang berkaitan.
Kamarul juga menafikan dua hantaran Facebooknya adalah fitnah terhadap Yeoh serta menolak dakwaan bahawa ia bermotifkan politik.
Sebelum ini, Kamarul turut menyaman Yeoh atas dakwaan fitnah berhubung hantaran Facebooknya. Bagaimanapun, dia menarik balik saman sivil tersebut.
