PARLIMEN | Memuji pendirian kerajaan Perak berhubung kajian undang-undang kawalan minuman keras, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN - Permatang Pauh) hari ini berpandangan, ia wajar diteladani oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang.
Membahaskan usul menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini, Fawwaz berkata dia memuji sikap Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, yang memberi lampu hijau kepada Majlis Bandaraya Ipoh untuk meneruskan kajian kemungkinan meluaskan kawalan penjualan arak ke lokasi majoriti Muslim selain Gugusan Manjoi.
Fawwaz juga berkata, dia mengharapkan agar Perak mencontohi empat negeri ditadbir PN yang didakwanya mematuhi syariat Islam dengan membanteras penjualan minuman keras di kedai serbaneka.
"Walaupun demikian, di Pulau Pinang masih tidak ada langkah seberani itu dibuat oleh mana-mana PBT.
"Apakah kerajaan akan menyambut atau memberi sokongan kepada mana-mana pihak seperti persatuan penduduk atau ahli jawatankuasa masjid yang mengumpulkan petisyen, bancian ataupun usaha yang munasabah untuk membasmi penjualan arak di kawasan mereka yang berada dalam kawasan majoriti umat Islam?" katanya.
Untuk rekod Pulau Pinang mempunyai dua PBT iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang - yang mengelola hal ehwal pentadbiran bahagian pulau - dan Majlis Bandaraya Seberang Perai.
Dakwa Fawwaz, walaupun langkah itu tidak dipersetujui oleh PBT yang didominasi oleh ahli bukan Islam, ia masih tetap perlu diusahakan.
Kata bekas ketua Pemuda PAS Pulau Pinang itu lagi, menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan yang halal kepada rakyat.
"Maka sangat wajar kerajaan yg menggunakan jenama Madani ini membuat penstrukturan semula ekosistem arak sama ada pengilangan, logistik, pergudangan serta pasaran runcit di kedai serbaneka agar umat islam terhindar daripada sebarang transaksi yang melibatkan arak," katanya.