Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemberi maklumat buat laporan balas: 'Saya sedia kena tangkap'
Diterbitkan:  Feb 6, 2025 12:11 PM
Dikemaskini: 6:45 AM

Usahawan yang mendedahkan dakwaan skandal rasuah Sabah memfailkan laporan polis balas terhadap ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut Mohd Arifin Arif, dengan menyatakan bahawa tawaran telah dibuat untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Dalam laporan itu, yang salinannya diberikan kepada Malaysiakini, pemberi maklumat berkata, bahawa dia sanggup ditangkap dan didakwa jika siasatan membuktikan tuduhannya adalah palsu.

Mohd Arifin Arif

Justeru, kata usahawan itu, Arifin, yang merupakan menantu Yang di-Pertua Negeri Sabah Musa Aman, harus diheret ke mahkamah jika terbukti bahawa dia membuat laporan polis palsu.

“Saya minta polis untuk ambil tindakan tegas dan jalankan siasatan segera berhubung laporan polis palsu yang dibuat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan (KK).

“Semua saksi pihak saya yang terlibat bersedia untuk bekerjasama sepenuhnya dan memberikan semua bukti.

“Jika siasatan polis dapati saya bersalah, sila tangkap dan dakwa saya di mahkamah dengan segera.

“Walau bagaimanapun, jika didapati individu berkenaan telah membuat laporan polis palsu, sila ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya dalam laporan yang dibuat di balai polis Bandar Puteri di Serdang pagi ini.

Pemberi maklumat itu juga memberikan “kronologi” berkenaan tawaran penyelesaian yang didakwa dalam laporannya, seperti apa yang telah diterbitkan oleh Malaysiakini, sebelum ini.

Usahawan itu juga membekalkan lebih 50 paparan skrin perbualan Whatsapp yang berkaitan dengan tawaran penyelesaian yang didakwa kepada portal berita ini.

Dalam laporannya, pemberi maklumat itu berkata dia bersedia untuk menyerahkan semua paparan skrin tersebut kepada polis untuk memudahkan siasatan mereka.

Laporan polisnya dibuat kurang daripada 24 jam selepas Arifin membuat laporan di Kota Kinabalu, mendakwa bahawa artikel Malaysiakini memfitnah dirinya.

Adun itu, adalah antara mereka yang dituduh menerima rasuah daripada seorang usahawan untuk lesen penerokaan mineral.

Menurut Arifin, artikel tersebut “tidak tepat, mengelirukan, mengandungi fakta yang salah dan berunsur fitnah”.

Dia juga menuduh usahawan itu sebagai sebahagian daripada kartel yang cuba memonopoli lesen perlombongan di Sabah.

"Oleh yang demikain, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang memfitnah dan bersekongkol dengan kumpulan kartel ini yang cuba memonopoli lesen perlombongan di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut.

Arifin juga mendakwa bahawa Malaysiakini tidak menghubunginya untuk mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan pemberi maklumat itu sebelum menerbitkan laporan.

Sebagai rekod, Malaysiakini telah menghubunginya untuk mendapatkan komen pada 9.18 pagi Isnin, serta seorang pembantu kanan Ketua Menteri Hajiji Noor dan beberapa individu lain yang terlibat dalam artikel tersebut, sebelum menerbitkan laporan pada jam 4 petang hari itu. Tiada respons diterima sebelum penerbitan.

Artikel berkenaan, yang memetik pemberi maklumat, menyatakan bahawa Arifin mendakwa bahawa dia mempunyai mandat untuk merundingkan penyelesaian.

Pemberi maklumat mendakwa bahawa dia dimaklumkan bahawa lesen yang dibatalkan akan dipulihkan jika dia mengisytiharkan bahawa dana yang terlibat bukan rasuah tetapi adalah sumbangan politik.

Usahawan itu juga mendakwa bahawa dia diberikan satu kenyataan yang telah disiapkan terlebih dahulu - yang dikongsi dengan Malaysiakini - menyatakan bahawa dia telah memberikan dana yang serupa kepada Adun dari Umno, Star, dan PBS.

Hajiji, yang juga dikaitkan dengan skandal itu, telah menafikan tuduhan rasuah terhadap kerajaan negerinya, dengan mendakwa bahawa pemberi maklumat itu bekerjasama dengan individu yang mempunyai kepentingan tertentu yang ingin menjatuhkan pentadbirannya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS