Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kita ajak kaum Melayu datang rumah, bukan sertai upacara sembahyang'
Diterbitkan:  Feb 6, 2025 2:40 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Presiden MCA Wee Ka Siong menggesa kerajaan mengkaji semula rancangan untuk memperkenalkan garis panduan baru bagi umat Islam yang menghadiri acara bukan Islam.

Bercakap di Dewan Rakyat, Wee (BN-Ayer Hitam) berkata cadangan seperti itu sepatutnya dibincangkan dan diperhalusi oleh kabinet terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat.

Dia menegaskan bahawa garis panduan itu mestilah jelas dan dalam konteks yang menjaga keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang budaya negara ini.

Wee Ka Siong

Mengambil contoh Tahun Baru Cina, Wee berkata ramai orang bukan Cina nampaknya masih mengelirukan perayaan itu sebagai keagamaan sedangkan ia sebenarnya acara kebudayaan.

"Macam hari ini merupakan hari perayaan orang Hokkien.

Inilah hari raya pertama (bagi mereka), tetapi semalam kita ajak kaum Melayu datang ke rumah dan kita sudah letak tempat sembahyang tapi kita tak minta orang Islam pergi (sertai upacara) sembahyang.

"Tapi ia bukan sembahyang, ia adalah acara kebudayaan.

Bagaimana kita buat satu garis panduan dengan jelas? Yang penting keharmonian kaum terjaga. Kita ini dalam satu konteks masyarakat majmuk kita kena jaga keharmonian masyarakat dan juga kaum.

"Jadi saya minta supaya kerajaan, sama ada perkara ini dah dibincang dalam kabinet, perhalusi di kabinet dulu baru kita bincang, kalau belum, kita buat pengumuman ad hoc macam ini, pelbagai reaksi (timbul)," katanya.

Wee menyentuh isu garis panduan ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong.

Pemimpin MCA itu turut mempersoalkan rancangan untuk mewajibkan kelulusan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) sebelum seorang Muslim boleh menghadiri majlis pengebumian orang bukan Islam.

"Kalau saudara saya meninggal, saya ada saudara Islam, dia datang terus masuk peluk dengan kita. Pasal apa? Kita dalam satu keluarga.

"Jadi budaya dengan agama, bagaimana kita nak bezakan perspektif lain-lain," tambah Wee.

Dalam jawapan bertulis parlimen semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baru untuk acara yang melibatkan orang Islam yang berlangsung di rumah ibadat bukan Islam.

mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baru untuk acara yang melibatkan orang Islam yang berlangsung di rumah ibadat bukan Islam.

Garis panduan itu termasuk perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara itu melibatkan orang Islam, dan acara itu tidak boleh mengandungi unsur-unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.

Mohd Na'im Mokhtar

Elemen yang berpotensi menyinggung perasaan termasuk ucapan dan lagu dalam bentuk propaganda agama; risalah agama, persembahan, atau ucapan yang mempersenda Islam; mengadakan acara pada waktu solat orang Islam; berdekatan dengan surau, masjid, tanah perkuburan Islam, atau tanah wakaf; dan premis yang mengandungi simbol agama bukan Islam.

Na’im berkata, garis panduan itu akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada akhir bulan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS