Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming enggan mengulas mengenai cadangan kerajaan untuk memperkenalkan garis panduan baru bagi umat Islam yang menghadiri acara bukan Islam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata perkara berkenaan masih lagi di peringkat cadangan.
"Itu (soalan) hari ini muhibah dan Madani," katanya yang tidak mahu mengulas lanjut soalan yang dikemukakan.
"Belum ada garis panduan masih cadangan," katanya lagi ketika ditemui pada sambutan Tahun Baru Cina peringkat KPKT di Putrajaya, hari ini.

Pada Disember lalu, Nga menerima kritikan berhubung sesi nyanyian lagu Krismas yang diadakan di kementeriannya di Putrajaya.
Naib Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin, membangkitkan isu berkenaan video persembahan nyanyian Krismas yang menunjukkan beberapa umat Islam hadir di kalangan hadirin.
Katanya, bahawa sebagai menteri yang bertanggungjawab, pemimpin kanan DAP itu sepatutnya tahu bahawa adalah haram bagi umat Islam untuk menyertai perayaan agama lain yang bercanggah dengan akidah Islam.
Semalam Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar dalam jawapan bertulis di Parlimen mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baru untuk acara yang melibatkan orang Islam di rumah ibadat bukan Islam.

Garis panduan itu termasuk perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara itu melibatkan orang Islam, dan acara itu tidak boleh mengandungi unsur-unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.
Elemen yang berpotensi menyinggung perasaan termasuk ucapan dan lagu dalam bentuk propaganda agama; risalah agama, persembahan, atau ucapan yang mempersenda Islam; mengadakan acara pada waktu solat orang Islam; berdekatan dengan surau, masjid, tanah perkuburan Islam, atau tanah wakaf; dan premis yang mengandungi simbol agama bukan Islam.
Na’im berkata, garis panduan itu akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada akhir bulan ini.
Cadangan berkenaan mendapat bantahan dalam kalangan ahli Parlimen termasuk dari MIC, MCA dan DAP.

Presiden MCA Wee Ka Siong menggesa kerajaan mengkaji semula rancangan untuk memperkenalkan garis panduan baru bagi umat Islam yang menghadiri acara bukan Islam.
Bercakap di Dewan Rakyat, Wee (BN-Ayer Hitam) berkata cadangan seperti itu sepatutnya dibincangkan dan diperhalusi oleh kabinet terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat.
Timbalan Presiden MIC, M Saravanan pula menasihatkan Mohd Na’im supaya berhati-hati ketika mengulas isu sensitif yang boleh mengganggu keharmonian kaum dan agama di negara ini.
Manakala Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong, beranggapan kerajaan sedang membina tembok pemisah antara Islam dan bukan Islam.
Selain berharap kerajaan status quo terhadap cadangan berkenaan.
