Mesyuarat kabinet esok akan membincangkan garis panduan kontroversi mengenai kehadiran orang Islam di acara bukan Islam.
“Kita bincang dalam kabinet esok,” kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim ringkas ketika ditemui media di Putrajaya hari ini.
Dalam jawapan bertulis parlimen semalam, menteri agama Na'im Mokhtar mengumumkan akan memperkenalkan garis panduan baru bagi acara melibatkan orang Islam di rumah ibadat bukan Islam.
Garis panduan itu termasuk keperluan mendapat kebenaran pihak berkuasa agama dan tidak boleh mengandungi elemen yang boleh menyinggung perasaan orang Islam.
Elemen yang berpotensi menyinggung perasaan termasuk ucapan dan lagu dalam bentuk propaganda agama; risalah agama, persembahan, atau ucapan yang mempersenda Islam; mengadakan acara pada waktu solat orang Islam; berdekatan dengan surau, masjid, tanah perkuburan Islam, atau tanah wakaf; dan premis yang mengandungi simbol agama bukan Islam.
Na’im berkata, garis panduan itu akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, akhir bulan ini.
Garis panduan itu, katanya dibangunkan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di negara ini.
Ia adalah sebagai panduan buat umat Islam untuk menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.
Bagaimanapun, cadangan berkenaan mendapat bantahan pemimoin dan parti-parti bukan Melayu.
