Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Agenda liberal ekstrem’ - adakah PAS dulu biadab, soal Pemuda DAP
Diterbitkan:  Feb 6, 2025 5:11 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong mengkritik sikap Pemuda PAS yang melulu dalam melontarkan kritikan dengan memainkan retorik yang menghasut berhubung isu garis panduan mengenai penyertaan umat Islam dalam acara agama bukan Islam.

Sebagai respons terhadap kecaman Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden terhadap pendirian Pemuda DAP terhadap garis panduan yang dicadangkan, Woo menafikan cadangan bagi mengekalkan status quo adalah satu kebiadaban terhadap Islam.

Woo Kah Leong

"Di mata Ketua Pemuda PAS, seruan Ketua DAPSY Kebangsaan untuk mengekalkan status quo bagi perihal kehadiran majlis perayaan bukan Islam adalah biadab, tidak bertanggungjawab, campur tangan terhadap urusan Islam dan seolah-olah mahu mencabar kedudukan Islam.

"Seperti mana yang dinyatakan berkali-kali, DAP dan sayap pemudanya adalah entiti politik yang menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi negara dan menghormati keharmonian masyarakat berbilang kaum yang diwujudkan sejak kemerdekaan," katanya yang juga ahli exco Perak.

Woo berkata amat malang dan sedih apabila Pemuda PAS kini berbeza dengan sayap parti itu ketika bersama Pakatan Rakyat , kerana kini sudah tidak mampu berhujah dengan bernas dan melawan hujah dengan hujah.

Mereka, sebaliknya, kata Woo hanya mewujudkan retorik yang cenderung kepada menghasut penyokong dengan unsur keagamaan.

Afnan Hamimi Taib Azamudden

Dia seterusnya mencabar pendirian Pemuda PAS dengan menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini, termasuk menteri-menteri PAS, juga mengekalkan status quo mengenai perkara itu semasa pentadbirannya dari 2020 hingga 2022.

Soalnya, apakah kerajaan PN termasuk menteri PAS juga menyebarkan ‘agenda liberal ekstrem’ pada masa itu.

"Adakah tindakan PAS ketika itu yang mengekalkan status quo pun biadab, tidak bertanggungjawab, campur tangan terhadap urusan Islam dan seolah-olah mahu mencabar kedudukan Islam lantaran PAS pun mengekalkan status quo ketika memerintah kerajaan pusat.

"Sekiranya tindakan kerajaan PN (ditunjangi menteri PAS) yang mengekalkan status quo tidak dipersoalkan, kenapa kini pula bersikap dwi-piawaian untuk mempersoalkan DAPSY yang seru untuk mengekalkan status quo?" soal Woo.

Dia juga menyifatkan apa yang berlaku hari ini sebagai sikap hipokrit, dan menyoal mengapa Pemuda PAS sekarang menjadikannya sebagai isu sedangkan parti itu sendiri tidak mendesak peraturan sedemikian semasa dalam kerajaan.

Justeru, itu Woo meminta Pemuda PAS merujuk kamus untuk memahami betul-betul kenyataan Pemuda DAP semalam.

"Nasihat saya kepada Ketua Pemuda PAS, gunakanlah Kamus Dewan mahupun tatabahasa Dewan untuk mengenal pasti dan betul-betul memahami ayat, frasa, kata yang terkandung dalam kenyataan media Pemuda DAP semalam, semuanya berlandaskan fakta masyarakat majmuk negara kita, mengguna pakai contoh dahulu dan dinyatakan juga kegusaran pihak penganjur," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS